Mesyuarat agung luar biasa (EGM) MCA tidak boleh diadakan sebelum 22 September ini berikutan anggota perwakilan pusat sedang melalui proses peralihan.

    

Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata tiada bantahan terhadap tuntutan mengadakan EGM oleh Timbalan Presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai tetapi ia adalah mustahil untuk menunaikan permintaan itu sebelum tarikh tersebut.

    

Beliau berkata surat jawapan rasmi telah dihantar kepada Liow dan tiga yang lain berhubung isu tersebut.

    

"Saya ingin menegaskan bahawa MCA bersetuju untuk mengadakan mesyuarat EGM tetapi ia tidak akan diadakan sebelum 22 September seperti yang diminta," kata Kong dalam kenyataan semalam.

Isnin lepas, Liow dan 13 anggota jawatankuasa pusat telah mengemukakan permintaan untuk memanggil EGM untuk membincangkan antara lain, isu menarik balik penggantungan tiga tahun yang dikenakan ke atas anggota exco Johor, Datuk Tee Siew Kiong.

Kong menjelaskan MCA kini melakukan persediaan untuk pemilihan dan perhimpunan agung bahagian 22 September ini dan sekiranya notis mengadakan EGM dikeluarkan maka mesyuarat itu akan bertembung dengan tarikh perhimpunan agung di mana akan ada satu senarai anggota perwakilan pusat yang baru.

    

"Dalam erti kata lain, jika kita mengeluarkan notis EGM kepada bakal anggota perwakilan pusat yang keluar dan mereka ini akan hadir pada tarikh selepas pemilihan perwakilan baru.

    

"Ini sudah pasti akan membawa kepada persoalan undang-undang mengenai kesahihan penyertaan bekas dan perwakilan pusat yang baharu," katanya.

- Bernama