NGO: DBKL patut utama bumiputera
NGO mewakili penjaja bumiputera IKHLAS menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) agar mengutamakan projek di kawasan tumpuan bumiputera sebelum menjalankan projek pembangunan di Jalan Alor, Bukit Bintang.
Presiden IKHLAS Mohd Ridzuan Abdullah berkata, projek pembangunan DBKL di Jalan Alor itu juga merupakan satu pembaziran kerana kawasan tersebut menurutnya sudah cukup baik dan tidak perlu diperindahkan lagi.
“Kalau nak perindah, kawasan bumiputera perlu diperindah dulu baru ke kawasan-kawasan lain,” katanya kepada Malaysiakini .
Beliau masih tidak berpuas hati dengan penjelasan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Ahmad Phesal Talib yang didakwa berdolak-dalik mengenai projek pembangunan di Jalan Alor, Bukit Bintang.
Kataya, Ahmad Phesal sebelum ini menjelaskan bahawa projek berkenaan adalah untuk membangunkan hab makanan Cina antarabangsa.
Beliayang berhasrat untuk menganjurkan bantahan lebih besar ke atas projek tersebut berkata, Ahmad Phesal kemudiannya menjelaskan bahawa projek berkenaan adalah untuk menaik taraf Jalan Alor, katanya.
"Sekejap cakap nak jadikan Jalan Alor sebagai hab makanan Cina antarabangsa, sekejap cakap nak perindahkan kawasan. Mengaku sahajalah, jangan pusing-pusing cerita lain," kata Mohd Ridzuan.
Beliau mengulas kenyataan DBKL semalam bahawa projek melibatkan perbelanjaan sebanyak RM12 juta bagi memperindahkan Jalan Alor akan diteruskan, sejajar dengan Tahun Melawat Malaysia 2014.
Tambahnya, IKHLAS bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar bagi membincangkan mengenai projek tersebut sekiranya menerima surat rasmi.
“Kalau ada surat rasmi daripada Datuk Bandar, baru kami akan jumpa. Kalau tak, kami takkan jumpa” katanya.

