Berita Malaysiakini

AMK kecewa MB 'perlekeh' teguran berkaitan bola

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Pemuda PKR (AMK) Selangor menyuarakan rasa kecewa dan terkilan mereka dengan kenyataan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim yang dianggap mereka memperlekeh idea dan gesaan bagi memajukan pasukan bola sepak negeri.

Mereka merujuk kepada kenyataan Khalid sebelum ini yang meminta Pemuda PAS negeri - yang mengkritik isu penajaan pasukan bola sepak Selangor - memilih antara pembinaan masjid dan bola sepak.

"Justeru, AMK selangor mengharapkan menteri besar agar tidak terus melatah dalam perkara ini," kata ketuanya Azmizam Zaman Huri.

"Dan yakin anak muda Selangor terutama dari AMK dan Pemuda PAS Selangor sendiri dengan rela hati untuk duduk bersama bagi memberikan idea-idea bernas ke arah kemantapan urus tadbir sukan bola sepak di negeri Selangor.

Dalam kenyataannya semalam, Azmizam menyokong saranan PAS dengan menegaskan pertimbangan sukan sebagai teras penyatuan rakyat melampaui perkiraan untung rugi, selagi tidak membazir.

Azmizam yang juga Naib Ketua AMK di peringkat pusat turut menyarankan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dirombak bagi mengelakkan pasukan The Red Giants Selangor terus layu.