Sabitan pertama PAA, pegawai PKR didenda RM6,000
Setiausaha kerja PKR Johor dihantar ke penjara hari ini selepas enggan membayar denda RM6,000 yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru yang memutuskannya bersalah menganjurkan perhimpunan Black 505 pada Mei lalu.
Dia dipercayai individu pertama yang disabitkan kesalahan kerana menjadi penganjur perhimpunan mempertikaikan keputusan pilihan raya 5 Mei lalu yang diadakan di seluruh negara.
Hakim Muhammad Jamil Hussin memutuskan, pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah dan memutuskan pengerusi PKR Johor Datuk Seri Chua Jui Meng yang dinamakan sebagai penganjur dalam perhimpunan di Johor Bahru, tidak menjejaskan kes pendakwaan.
"Oleh itu, mahkamah memutuskan hukuman ke atas kamu RM6,000 dan tiga bulan penjara," kata hakim.
Bagaimanapun, menurut Hassan Abdul Karim, peguam kepada R Yuneswaran, pegawai parti itu tidak membayar denda kerana memprotes keputusan itu.

