Tujuh dilarang bertanding di PP kerana 'sabotaj'
Tujuh calon termasuk bekas timbalan ketua menteri (TKM) Pulau Pinang dan seorang bekas ADUN dilarang bertanding dalam pemilihan Umno kerana keanggotaan mereka digantung atas beberapa sebab antaranya dakwaan mensabotaj parti dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13).
Senarai tujuh calon terbabit diumumkan oleh Setiausaha Umno Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir (kiri dalam gambar) dalam satu sidang akhbar hari ini.
Bekas TKM tersebut, Abd Rashid Abdullah yang bertanding ketua bahagian Nibong Tebal, dan bekas ADUN Sungai Dua, Datuk Jasmin Mohamed, yang bertanding jawatan bahagian ketua Tasek Gelugor, dilarang bertanding sementara menunggu siasatan selesai.
Ketua badan perhubungan Umno negeri, Datuk Zainal Abidin Osman menang jawatan ketua bahagian Nibong Tebal tanpa bertanding.
Ketika ditanya sebabnya, Musa berkata keanggotaan mereka digantung atas beberapa sebab antaranya dakwaan mensabotaj parti dalam PRU13.
Bercakap dalam satu sidang akhbar di Menara Umno hari ini, beliau berkata, siasatan masih berterusan tetapi individu-individu berkenaan tidak dibenarkan bertanding.
Lima lagi ialah adalah Mahamad Tahir Yusof (bertanding jawatan ketua Tasek Gelugor) dan Dr Md Rozi Yusof, Salmah Ahmad, Azmidy Mohamad dan Rahim Che Noor, kesemuanya bertanding jawatan ahli jawatankuasa Umno Tasek Gelugor.
Dalam pilihan raya umum pada 5 Mei lalu, calon Umno di Tasek Gelugor telah dicabar oleh pemimpin veteran Datuk Shariff Omar dalam pertandingan tiga penjuru dengan PAS.
Mereka dilarang bertanding dalam pemilihan Umno itu berkemungkinan besar ada kaitan dengan Shariff, yang juga bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang, yang telah mengisytiharkan dirinya sebagai "mesra Pakatan" pada masa itu. [Baca berita penuh]
Sementara itu, Bernama melaporkan Musa berkata pihaknya menerima surat penggantungan keahlian tujuh calon tersebut pada pukul 4.45 petang 21 September 2013 iaitu pada hari penyerahan borang
pencalonan untuk bertanding.
"Ini adalah keputusan Umno Pusat dan bukan dari Umno Pulau Pinang," katanya.
Musa berkata sebanyak 32 calon di negeri ini, yang menyerahkan borang pencalonan pada hari Sabtu untuk bertanding, disahkan menarik diri selepas tempoh bertenang selama 72 jam tamat.
Katanya penarikan diri itu menjadikan jumlah keseluruhan calon yang akan bertanding pada pemilihan Umno di negeri ini seramai 1,924 orang.
"Bagaimanapun itu bukanlah keputusan akhir kerana calon-calon akan melalui satu lagi saringan di peringkat pusat, yang akan tentukan sama ada calon ada terlibat dengan kegiatan jenayah ataupun diisytiharkan bankrup," jelasnya.
Dalam pemilihan kali ini, Musa berkata terdapat tiga bahagian menyaksikan pertandingan empat penjuru bagi merebut jawatan ketua Umno Bahagian iaitu di Permatang Pauh, Jelutong dan Bukit Bendera.
Selain itu terdapat satu bahagian menyaksikan pertandingan tiga penjuru untuk jawatan ketua Umno bahagian iaitu Bagan, manakala empat bahagian menyaksikan pertandingan satu lawan satu untuk jawatan yang sama iaitu Kepala Batas, Batu Kawan, Tasek Gelugor dan Bayan Baru.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Pulau Pinang, Datuk Daud Taha berkata Lembaga Disiplin Umno masih menjalankan siasatan terhadap dakwaan yang dikenakan kepada tujuh orang yang ditolak pencalonan mereka itu.
Bagaimanapun) menurut surat yang dikeluarkan pada 20 September yang saya terima sehari selepas itu menyatakan bahawa mereka hilang kelayakan sebagai ahli Umno,tidak boleh dipilih dan memilih (untuk mana-mana jawatan) sehingga kes mereka selesai," katanya.

