Mahkamah Sesyen Johor Bahru menjatuhkan hukuman penjara ke atas setiausaha eksekutif PKR Johor R Yuneswaran hari ini selepas beliau enggan membayar denda RM6,000 selepas didapati bersalah menganjurkan perhimpunan Black 505 pada Mei lalu.

Beliau dipercayai merupakan individu pertama yang disabitkan dengan kesalahan menganjurkan perhimpunan Black 505 – satu siri perhimpunan di seluruh negara anjuran pembangkang untuk membantah keputusan pilihan raya umum ke-13.

Hakim Mahkamah Sesyen Muhammad Jamil Hussin mendapati pihak pendakwaan membuktikan kes tersebut melampaui keraguan munasabah dan memutuskan kes pendakwaan tidak terjejas walau tidak memanggil ketua PKR Johor Datuk Chua Jui Meng.

Jamil dalam penghakimannya menjatuhkan hukuman denda RM6,000 atau tiga bulan penjara.

Menurut peguam Hassan Abdul Karim yang mewakili Yuneswaran, setiausaha eksekutif tersebut enggan membayar denda berkenaan sebagai membantah keputusan berkenaan.

“Oleh itu, beliau akan dihantar ke penjara Ayer Molek untuk semalaman. Tidak pasti sama ada dia akan bayar denda esok. Jika beliau tidak bayar, kemungkinan beliau akan dipindah ke penjara Kluang,” kata Hassan kepada Malaysiakini.

Yuneswaran didakwa dengan tuduhan tidak memaklumkan kepada ketua polis daerah Johor Bahru Selatan dalam tempoh 10 hari sebelum perhimpunan berkenaan.

Perhimpunan tersebut diadakan berhampiran pejabat PKR di Jalan Beladau 19, Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram pada kira-kira jam 8.30 malam, 15 Mei lalu.

Yuneswaran dipanggil untuk membela diri pada 1 Ogos 2013.

[Baca berita penuh]