Pindaan kontroversi terhadap Akta Pencegahan Jenayah (PCA) bukan untuk menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah dimansuhkan atau untuk menakut-nakutkan pihak pembangkang dan masyarakat sivil, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Walaupun mendapat kritikan meluas sejak pindaan itu dibentangkan minggu ini, beliau menekankan bahawa tujuan asasnya adalah untuk memerangi jenayah bagi ntuk memastikan keselamatan awam.

Berucap sebelum melancarkan forum pencegahan jenayah di Putrajaya hari ini, Zahid berkata seperti yang boleh dilihat, pindaan itu mengeluarkan kuasa menteri bagi mengelak penyalahgunaannya.

Di bawah pindaan yang dicadangkan itu, beliau berkata, kerajaan komited untuk memberi kuasa kepada lembaga tiga anggota yang diketuai sama ada oleh seorang hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Mahkamah Rayuan atau hakim Mahkamah Tinggi.

Lembaga itu memegang kuasa untuk mengeluarkan perintah tahanan dan perintah pengawasan terhadap mereka yang didaftarkan di bawah kesalahan yang dinamakan dalam Akta tersebut. Baca berita penuh]

Sementara itu Bernama melaporkan, dalam sidang media selepas itu, Zahid turut memberi jaminan PCA tidak akan digunakan terhadap ahli politik atau pihak yang berbeza pendapat.

   

"Kekhuatiran pihak Majlis Peguam, NGO serta parti pembangkang ialah pihak kerajaan menggunakan PCA ini untuk melakukan tahanan terhadap ahli politik.

   

"Kerajaan memberi jaminan PCA ini ditujukan seratus peratus hanya kepada penjenayah sahaja. Ia tidak harus dimanupulasi kononnya untuk menyekat, menahan dan memenjara pihak yang berbeza pendapat dengan kerajaan. Ia adalah untuk mencegah jenayah," katanya.

Pindaan Rang Undang-Undang PCA akan dibahas di Dewan Rakyat Isnin ini.

Mengulas laporan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi, yang menerima beberapa khidmat pesanan ringkas (SMS) berunsur ugutan daripada individu tidak dikenali Isnin lepas, Ahmad Zahid berkata penjenayah takut dengan tindakan tegas polis.

   

"IGP pun ada terima. Mereka takut pada penguatkuasaan. Saya mengucapkan tahniah kepada Ketua Polis Negara dan semua Ketua Polis negeri, terutama Pulau Pinang, kerana menjalankan tugas dengan sepenuh hati dan keikhlasan sehingga mereka yang terlibat dalam pembanterasan jenayah terasa.

"Ugutan tidak memberi sebarang makna kepada pegawai-pegawai ini kerana apa yang dilakukan oleh mereka adalah untuk kepentingan rakyat keseluruhannya," katanya.

   

Forum empat itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri, Senator Datuk Paul Low Seng Kuan, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi.