Most Read
Most Commented
Read more like this

Parti Bersatu Sabah menimbangkan kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Bingkor, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan, dan lima lagi ADUN yang melompat dari PBS ke Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Ahad lalu.

Timbalan Presiden PBS, Dr. Yee Moh Chai hari ini memberitahu malaysiakini bahawa semua calon parti itu telah menandatangani satu perjanjian yang memberikan jaminan bahawa sekiranya mereka melompat ke parti lain, mereka mesti melepaskan jawatan.

"Penasihat undang-undang PBS sedang mengkaji kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka," kata Dr. Yee, yang juga ADUN Api-Api.

Jeffrey membawa bersama Johnny Goh Chin Lok (ADUN bagi Inanam), Louis Rampas (Kiulu), Karim Adam (Kundasang), Edward Linggu (Tamparuli) dan Atong Mangabis (Matunggong) menyertai PBRS.

Parti tersebut yang dahulu tidak mempunyai sebarang tempat Dewan Undangan Negeri Sabah kini mempunyai enam kerusi.

Tindakan itu membolehkan PBRS yang diketuai bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Kurup menjadi parti ketiga terbesar dalam gabungan sembilan komponen Barisan Nasional negeri itu selepas Umno dan Parti Bersatu Kadazandusun Pasok Momogun.

Dalam pilihanraya negeri Mac tahun lalu, PBS memperolehi 17 kerusi manakala BN mendapat 31 kerusi.

"Rakyat memberikan mandat kepada mereka melalui PBS, maka tidak ada sebab mereka menyertai BN setelah menang," kata Dr. Yee.

Beliau menegaskan PBS akan mengambil tindakan undang-undang secepat yang mungkin.

Jeffrey merupakan salah seorang pengasas PBRS ketika abangnya, Datuk Joseph Pairin Kitingan menerajui kerajaan PBS. Pairin terpaksa melepaskan kuasa pada Mac 1994 selepas beberapa orang ADUN partinya, termasuk Jeffrey, menyertai BN.

ADS