BERITA Malaysiakini

Kegunaan pesawat polis RM175j tak memadai

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Pasukan polis memperolehi lima buah pesawat Beechcraft King Air 350 dengan kos US$58.25 juta (RM175.24 juta) untuk kegunaan unit udaranya.

Pesawat berkenaan bertujuan untuk menaiktaraf keselamatan udara negara.

Bagaimanapun, dalam tempoh lima tahun kegunaannya, sebuah daripada pesawat berkenaan tidak dibenarkan terbang dalam tempoh lapan bulan, di antara September 2011 hingga April 2012.

NONESebuah lagi tidak boleh digunakan di antara Jun dan November 2012.

Hanya tiga buah daripada lima yang dipesan itu telah diterima setakat ini.

Projek itu dianugerahkan selepas rundingan terus dengan Hawker Pacific Airservices Ltd, melalui ejennya, EZ Aviation Sdn Bhd.

Kementerian dalam negeri melaporkan bahawa pesawat berkenaan tidak dapat digunakan kerana peruntukan kewangan yang tidak mencukupi.

Ia juga menyebut, Pasukan Gerakan Udara akan menggunakan bahagian pesawat yang tidak digunakan bagi alat ganti untuk pesawat lain.

Laporan Ketua Audit Negara menyebut, kesemua pesawat pasukan tersebut sepatutnya berada dalam keadaan selamat untuk kegunaan setiap masa.

Ia turut menemui kelemahan dalam proses penyediaan dan perancangan, yang menyebabkan unit berkenaan terpaksa bergantung kepada syarikat swasata bagi penyelenggaraan pesawat berkenaan.

Laporan Ketua Audit Negara menyarankan agar tindakan segera diambil bagi memastikan unit berkenaan menjadi organisasi yang dapat menyelenggara pesawatnya sendiri berdasarkan piawai yang ditetapkan.

Ia turut mendapati tiga pesawat berkenaan hanya merekodkan penerbangan selama 43 jam untuk memantau jenayah dan 89 jam untuk ketenteraman awam antara 2010 hingga 2012.

Ia didapati lebih banyak digunakan untuk sokongan operasi dan latihan, masing-masing melibatkan 2,223 jam dan 672 jam.

Jumlah masa ini didapati tidak memadai dengan tujuan pembelian dan penyelenggaraannya, menurut laporan itu lagi.

Kementerian Dalam Negeri dalam jawapannya menyebut, kewangan unit udara tersebut terhad dan ia mendapatkan peruntukan tambahan berjumlah RM194.75 juta untuk penyelenggaraan pesawat berkenaan pada November 2012.

Laporan Ketua Audit Negara juga mencadangkan agar juruterbang dan jurutera disediakan secukupnya untuk mengendalikan pesawat terbabit bagi memastikan ia digunakan dengan optimum.

[Baca berita penuh]