Cara baru Gerakan baru
Gerakan, sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN), menggunakan tema baharu sebagai sebahagian usahanya untuk terus relevan dalam politik, kata pemangku setiausaha agungnya Datuk Mah Siew Keong.
Beliau berkata Gerakan sedar bahawa padah yang menimpanya pada dua pilihan raya umum lepas berpunca daripada kegagalan untuk menepati kedudukannya sebagai suara pemikiran (voice of reason) dalam BN.
"Gerakan yang baharu akan lebih bersungguh-sungguh dalam mengetengahkan ideologinya, tidak akan teragak-agak menuntut kebertanggungjawaban daripada rakan dan musuhnya serta meluaskan asas keanggotaannya, di samping memastikan ia dapat menarik bakat terbaik untuk menjadi sebahagian daripada perjuangan parti," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur semalam.
Beliau berkata sejajar dengan itu, kepimpinan parti meluluskan 'Cara Baharu, Harapan Baharu dan Gerakan Baharu' sebagai tema bagi Persidangan Perwakilan Kebangsaannya (NDC) tahun ini, yang akan menyaksikan pemilihan kepimpinan parti itu pada 26 dan 27 Okt ini.
Pencalonan bagi badan induk diadakan pada 19 Okt, manakala pemilihan bagi badan induk akan diadakan pada 26 Okt, hari pertama NDC," katanya sambil menjelaskan bahawa kira-kira 2,000 anggota perwakilan dari seluruh negara akan menghadiri mesyuarat dan pemilihan kepimpinan parti untuk memegang jawatan bagi tempoh tiga tahun akan datang.
Beliau berkata pencalonan bagi pemilihan Belia dan Wanita akan diadakan pada 18 Okt, manakala pemilihan bagi kepimpinan kedua-dua sayap itu akan diadakan pada 25 Okt.
Perdana Menteri dan pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual merasmikan persidangan itu pada 26 Okt.
- Bernama

