Lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap individu yang didakwa menghina Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bendera Malaysia di laman sosial Facebook.

    

Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Pandan Indah oleh Presiden Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia Abdul Rani Kulup Abdullah mewakili Majlis Persahabatan Ayahanda Malaysia, Pertubuhan Gerakan Bersatu 69, Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM) dan Gerakan Memartabat Pejuang Negara.

    

Abdul Rani berkata laporan polis itu dibuat bertujuan menggesa pihak berkuasa termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan tegas berhubung perbuatan memuat naik gambar yang didakwa menghina perdana menteri oleh seorang individu di laman Facebook di akaun yang menggunakan nama 'Raymond Khoo'.

    

"Kami selaku NGO memandang serius perkara ini dan tidak mahu ia terus berleluasa dan merebak," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis itu.

    

Sementara itu, Presiden IRIMM Amir Amsaa Alla Pitchay berkata tindakan itu dianggap satu penghinaan terhadap perdana menteri dan menjatuhkan martabat jalur gemilang.

    

"Sebagai warganegara, dia tidak sepatutnya melakukan tindakan seperti itu... saya harap pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia turut mengambil tindakan sewajarnya," katanya.

    

Difahamkan individu terbabit memuat naik gambar perdana menteri dengan tubuhnya berbentuk seorang wanita yang memakai baju dalam bercorak bendera Malaysia di akaun Facebook berkenaan.

- Bernama