Malaysiakini BERITA

Anak didik Azizan turut disebut calon di Sg Limau

Abdul Rahim Sabri  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

dikemaskini Menjelang penamaan calon pilihan raya kecil DUN Sungai Limau pada 23 Oktober ini, seorang lagi nama pemimpin PAS kawasan Jerai disebut-sebut turut tersenarai untuk dipertimbang dicalonkan bagi mewakili parti itu.

azam samad sungai limauBeliau adalah Ketua Pemuda PAS Jerai Azam Samad, 38, (kiri) seorang pendidik berkelulusan Universiti Al-Azhar, Mesir.

"Beliau adalah anak didik politik Tan Sri Azizan Abdul Razak. Sekalipun tidak pernah bertanding (dalam pilihan raya), beliau mempunyai rekod baik dalam parti. Tidak ada musuh dalaman dan boleh memerangkap agenda BN.

"Beliau boleh mematikan hujah mereka kerana mempunyai kelayakan akademik, latar belakang agama dan berperibadi mesra pengundi," kata sumber-sumber ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Azam yang baru dilantik memegang jawatan ketua Pemuda kawasan itu baru-baru ini, menjadi sebutan akar umbi dan penduduk, antaranya di Bukit  Besar, Kampung Bukit Curaih, Kampung Tualang, Sungai Dedap, Permatang Buluh, dan Kampung Selengkoh.

Azam kini memegang jawatan exco Pemuda PAS Kedah, pengarah Jabatan PASTI Kedah dan merupakan guru penolong kanan hal ehwal murid sebuah sekolah agama bantuan kerajaan negeri di Bukit Besar, dalam parllimen itu.

azam samad sungai limau 2"Datuknya (Hamid Ibrahim) adalah antara pengasas PAS Kedah dan Ustaz Azam dibesarkan di pondok al-Nahdhoh," kata sumber-sumber sambil menambah Azam mampu memimpin bacaan tahlil dan berkhutbah seperti yang dikehendaki oleh penduduk setempat.

Sumber-sumber juga memberitahu Malaysiakini bahawa datuk kepada Azam, juga pernah menjadi calon PAS di DUN Sala - kini Sungai Limau - dan bekas ketua Pemuda PAS sewaktu PAS ditubuhkan di negeri itu.

Sementara bapa Azam juga, aktif dalam PAS cawangan Bukit Besar sehingga meninggal dunia pada 2003.

Semalam dilaporkan dua calon muda PAS yang disebut-sebut bakal dicalonkan parti itu dalam pilihan raya kecil itu. Mereka ialah setiausaha khas kepada bekas menteri besar Kedah, Muzaini Azizan dan setiausaha PAS Kedah merangkap ketua penerangan PAS Jerai, Musoddak Ahmad.

Proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu akan berlangsung pada 23 Oktober ini, manakala hari pengundi ditetapkan pada 4 November depan.