KJ: NGO ambil alih retorik Pemuda Umno
Penyandang jawatan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menangkis tanggapan bahawa sayap parti itu tidak menonjol dalam memperjuang isu melibatkan orang Melayu dan Islam.
Khairy dalam satu wawancara disiarkan Mingguan Malaysia hari ini menyebut, sayap Umno tersebut menunjukkan hasil yang lebih baik dalam usaha tersebut semasa bawah pimpinannya.
Beliau mengambil contoh program karnival kerjaya serta usaha yang memberi keuntungan kepada golongan bumiputera bawah Perbadanan Usahawan Nasional (PUNB).
“Bila kita buat program yang memperkasa orang muda contohnya menjuarai isu pengangguran melalui karnival kerjaya siapa yang dapat faedah? Orang Melayu juga.
“Kita tidaklah menjerit perkara itu, tetapi kita lebih kepada hasilnya. Sebanyak 140,000 orang muda dapat pekerjaan melalui karnival kerjaya Pemuda, 90 peratus adalah Melayu,” katanya dalam wawancara tersebut.
Pengerusi PUNB itu berkata beliau mengakui ada NGO yang mengambil alih fungsi Pemuda Umno tetapi beliau berpendapat bahawa itu hanyalah “dari segi retorik”.
Beliau yakin bahawa usaha yang dijalankannya bagi membantu usahawan bumiputera lebih berkesan daripada apa yang dilakukan oleh kumpulan NGO.
“Tapi dari segi kerja sebenar, kita telah melaksanakannya. Kita deliver dan ini juga fakta.
“Saya tengok sebab saya dalam jawatankuasa pengurusan, tidak ada satu bulan pun sejak saya jadi Ketua Pemuda di mana Pemuda Umno paling corot dari segi penambahan ahli baru,” katanya lagi.
Khairy yang mempertahankan jawatannya dalam pertandingan kali ini berkata, Pemuda Umno kali ini perlu dilihat sebagai golongan profesional dan tidak hanya agresif dari isu bangsa.

