Sebanyak 260 calon disahkan layak bertanding jawatan peringkat pusat pada pemilihan Umno 12 Okt dan 19 Okt ini susulan penyenaraian semula Tun Faisal Ismail Aziz untuk bertanding jawatan anggota Majlis Tertinggi Umno.

NONEKetika mengumumkan senarai muktamad calon di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Tan Sri Tajol Rosli Ghazali berkata pengerusi Unit Media Baru Umno itu dibenarkan bertanding berdasarkan pertimbangan yang dibuat Majlis Tertinggi dan Jawatankuasa Pemilihan demi kesempurnaan perjalanan parti.

"Mengikut Fasal 9.5 Perlembagaan Umno, seorang yang hendak bertanding perlu pernah menjadi anggota Majlis Tertinggi atau ahli jawatankuasa bahagian selama satu penggal.

"Tapi dalam kes ini dia (Tun Faisal) calon yang diketengahkan oleh Pergerakan Pemuda Umno, dan jawatankuasa pemilihan berpendapat mengikut fasal 10.15, Majlis Tertinggi boleh mengambil sesuatu tindakan demi kesempurnaan perjalananan parti," katanya.

Tajol Rosli juga berkata sebanyak 33,012 calon pula disahkan layak bertanding di peringkat bahagian setelah ditolak 334 calon akibat muflis, 495 calon menarik diri dan 39 orang calon dikenakan tindakan disiplin, katanya pada sidang akhbar di ibu negara.

Sebelum ini, Tun Faisal dilapor tidak disenaraikan sebagai calon untuk jawatan itu ketika senarai awal calon dikeluarkan 25 September lepas kerana tidak memenuhi syarat kelayakan iaitu pernah menjadi anggota MT atau anggota jawatankuasa bahagian sekurang-kurangnya sepenggal.

Mengenai calon muflis yang digugurkan daripada senarai, Tajol Rosli berkata mereka tidak akan diganti dengan calon lain.

"Tiada lagi rayuan setelah senarai muktamad ini dikeluarkan," tegasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata 144,297 perwakilan akan menentukan pucuk pimpinan parti di peringkat bahagian dan pusat pada pemilihan 19 Okt ini.

Jumlah itu ditetapkan setelah 1,703 perwakilan ditolak kerana muflis.

Ini merupakan kali pertama anggota akar umbi diberi suara lebih besar dalam pemilihan Umno berikutan pindaan Perlembagaan parti dibuat pada 2009, yang turut bertujuan membasmi gejala politik wang.

Sebelum ini, nasib pemimpin parti pusat hanya ditentukan kira-kira 2,500 perwakilan sahaja. 

"Mereka yang tidak dibenarkan hadir ini diputuskan di bawah fasal 8.4 Peraturan Persidangan, di mana seseorang yang sudah diisytiharkan muflis tidak boleh menghadiri persidangan, termasuk tidak boleh dipilih, memilih dan mengundi kecuali di peringkat cawangan," katanya.

Menyentuh mengenai pemilihan pergerakan Pemuda, Tajol Rosli berkata 94 calon disahkan layak bertanding di peringkat pusat manakala 7,125 calon layak di peringkat bahagian sayap itu.

Bagi pergerakan Wanita pula, 51 calon layak bertanding di peringkat pusat dan 6,758 calon di peringkat bahagian.

Sebanyak 37 calon layak bertanding di peringkat pusat dan 4,955 calon di peringkat bahagian pergerakan Puteri.

Pemilihan ketiga-tiga sayap itu bagi peringkat bahagian dan pusat akan berlangsung Sabtu ini dan keputusan bagi peringkat pusat dijangka diumumkan keesokannya.

Begitu juga dengan Pemilihan bahagian dan MT pada 19 Oktober, keputusannya dijangka diketahui hari berikutnya.

-Bernama