Trafik dijangka sesak di Woodlands sempena raya
Aliran trafik di pusat pemeriksaan darat di Woodlands dan Tuas di Singapura dijangka sesak menjelang sambutan Hari Raya Haji pada 15 Okt ini.
Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dalam satu kenyataan menyebut jumlah trafik di kedua-dua pusat pemeriksaan dijangka meningkat dari petang Jumaat (11 Okt) dan berterusan hingga hujung minggu, 15 Okt.
ICA mengingatkan pemandu kenderaan yang menggunakan pusat pemeriksaan berkenaan tempoh itu harus bersedia menjangkakan kelewatan.
Menurut kenyataan itu, bagi mengelakkan orang ramai dan kenderaan berpusu-pusu untuk mendapatkan laluan di pusat pemeriksaan, mereka dinasihat mengubah suai jadual perjalanan sedapat mungkin.
Rakyat Singapura yang mempunyai BioPass atau berdaftar dengan Pejabat Pendaftaran Nasional, digalak menggunakan lorong Sistem Pelepasan Automatik Imigresen (eIACS).
Sistem ini akan membolehkan mereka melepasi pemeriksaan imigresen menerusi lorong automatik dalam tempoh 12 saat tanpa kos tambahan.
- Bernama

