Sayap Umno pilih kepimpinan bahagian, pusat hari ini
Pemilihan kepimpinan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di peringkat bahagian dan pusat berlangsung hari ini di semua 191 bahagian dan ibupejabat Umno menjangkakan keputusan awal diketahui seawal-awalnya jam 8 malam ini.
Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh berkata pengiraan undi akan dibuat sejurus selepas semua perwakilan selesai mengundi, dijangkakan seawal 1 tengah hari.
"Keputusan rasmi dijangkakan pada pukul 2 atau 3 pagi bergantung kepada maklumat yang diterima daripada seluruh bahagian.
"Kalau ada bahagian yang belum umum, kita akan tunggu walau pukul berapa sekalipun... keputusan tidak akan ditangguh," katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan akhir Pusat Media Pemilihan Umno 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra semalam, lapor Bernama.
Selain mengumumkan keputusan rasmi calon-calon yang bertanding di peringkat pusat, beliau berkata ibu pejabat Umno akan turut memaklumkan dari semasa ke semasa keputusan-keputusan yang diterima bagi calon ketua ketiga-tiga sayap bahagian.
Ab Rauf berkata ibu pejabat Umno dan pihak Jawatankuasa Pemilihan telah bersiap sedia sepenuhnya untuk menjalankan proses pengundian ketiga-tiga sayap yang bakal berlangsung serentak, bermula pukul 8 pagi di seluruh negara hari ini
Dari segi persediaan, katanya, segala bahan logistik telah pun tiba di bahagian-bahagian dan hari ini kertas undi akan dikeluarkan dari tempat penyimpanan dan dibawa terus ke tempat persidangan.
Meurutnya, segala permasalahan teknikal tentang status perwakilan dan calon, telah pun dikemas kini dan dimuktamadkan kira-kira pukul 4 petang semalam.
Oleh itu, beliau berkata pihaknya menjangka tiada masalah akan timbul hari ini.
Ab Rauf berharap semua ahli Umno dan para perwakilan dapat menunaikan tanggungjawab memilih barisan kepimpinan parti, menerusi sistem pemilihan baharu, dengan baik dan lancar.
"Ini menjadi sejarah buat pertama kalinya dalam 67 tahun Umno ditubuhkan apabila pucuk pimpinan memberi kuasa kepada peringkat akar umbi untuk memilih barisan kepimpinan peringkat tertinggi," katanya.
Melalui sistem baru itu, kira-kira 230,000 perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di seluruh negara di bakal menentukan kepimpinan masing-masing di peringkat bahagian dan pusat hari ini.
Pemilihah Pemuda Umno peringkat pusat hari ini menyaksikan Khairy Jamaluddin berdepan dengan empat pencabar untuk mempertahankan jawatan ketua Pemuda. Pencabarnya terdiri daripada Syed Rosli Syed Harman, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, Irwan Ambak Khalid Izhar dan Abd Karim Ali
Manakala empat calon bagi jawatan naib ketua Pemuda ialah Jamawi Jaafar, Lokman Noor Adam, Mohamad Iruan Zulkefli dan Khairul Azwan Harun. Senarai penuh
Bagi jawatan ketua Wanita pula, penyandangnya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dicabar oleh Raihan Suleiman Palestin dan Datuk Maznah Mazlan
Manakala dua calon bagi jawatan naib ketua Wanita ialah Datuk Suraya Yaacob dan Datuk Azizah Mohd Dun. Senarai penuh
Pergerakan Puteri Umno pula menyaksikan pertandingan jawatan ketua Puteri antara Mas Ermieyati Samsudin dan Jamilah Hanim Othman
Bagi jawatan naib Ketua pula, tiga calon berentap, iaitu Norsabrina Mohd Noor, Zahida Zarik Khan dan Nazliah Ali. Senarai penuh
Dengan sistem itu juga, kira-kira 146,500 perwakilan seluruh negara bakal menentukan nasib kepimpinan Majlis Tertinggi Sabtu depan, terutamanya persaingan enam penjuru bagi jawatan naib presiden.
Sementara itu, dalam proses pengundian hari ini, setiap perwakilan akan diberikan dua set ertas undi untuk memilih pemimpin mereka di peringkat bahagian dan pusat.
Selepas selesai proses pengundian dijangkakan 1 tengah hari, perwakilan akan meneruskan semula mesyuarat mereka sementara proses pengiraan undi dijalankan.
Pemilihan kali ini membabitkan 110,765 perwakilan Wanita, kira-kira 70,000 Pemuda dan kira-kira 50,000 Puteri bagi memilih kepimpinan untuk penggal 2013 hingga 2016.
Bagi pergerakan Pemuda, 94 calon disahkan layak bertanding di peringkat pusat manakala 7,125 calon di peringkat bahagian.
Bagi pergerakan Wanita pula, 51 calon layak bertanding di peringkat pusat dan 6,758 calon di peringkat bahagian.
Seramai 35 calon layak bertanding di peringkat pusat dan 4,955 calon di peringkat bahagian pergerakan Puteri.

