Permohonan kad perakuan akhbar untuk Malaysiakini.com akan dipertimbangkan semula oleh Kementerian Penerangan selepas permohonan kad akhbar Internet itu ditolak baru-baru ini.

Menurut Setiausaha Akhbar kementerian berkenaan, Zukri Valentino, pihaknya akan meneliti semula permohonan tersebut dan jawapan bertulis akan diberikan kepada Malaysiakini.com.

"Permohonan tersebut berada dalam perhatian Jabatan Penerangan sekarang," jelas Zukri, sambil memberitahu perkara tersebut telah dikemukakan kepada Menteri Penerangan, Tan Sri Khalil Yaacob minggu lalu.

Malaysiakini pernah melaporkan permohonan kad perakuan akhbar itu ditolak atas alasan tidak mempunyai permit daripada Kementerian Dalam Negeri melalui surat yang diterima daripada Resat Salleh, Pengarah Bahagian Akhbar dan Perhubungan Awam, bagi pihak Ketua Pengarah Penerangan Malaysia. ["[#1] KDN wajibkan kad perakuan akhbar Internet[/#] " (17 April)]

Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri menjelaskan bahawa belum ada sebarang polisi berhubung permit kepada akhbar Internet, menurut Timbalan Menterinya, Datuk Zainal Abidin Zin kepada malaysiakini 18 April lalu.["[#2] KDN tiada ketetapan tentang kad perakuan akhbar Internet[/#] " (18 April)]

Akhbar Internet merupakan bahan siaran yang baru and kementerian masih mengkaji sama ada perlu memberi permit kepada mana-mana akhbar Internet, katanya.

Kad perakuan akhbar yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan diperlukan oleh wartawan dan jurugambar untuk menghadiri upacara rasmi kerajaan, sidang akhbar dan memasuki bangunan kerajaan.