Banjir di Thailand semakin pulih
Perdana Menteri Thailand Yingluck Shinawatra berkata situasi keseluruhan banjir di negara itu mula pulih dan kerajaan sudah mengarahkan pihak berkuasa berkaitan untuk memeriksa kesan bah kepada rakyat.
Di bahagian timur, keadaan banjir di daerah Kabiburi, wilayah Prachinburi semakin baik apabila air mengalir keluar ke daerah Bangkla di Chacherngsao yang menyebabkan bah di situ pula semakin buruk, katanya kepada pemberita di Bangkok semalam.
Yingluck dijadualkan melawat kawasan banjir di bahagian timur petang ini selepas mesyuarat mingguan kabinetnya.
Beliau dijangka melawat daerah Bansang di Prachinburi serta Bangkla dan Bangnampraew di Chacherngsao.
Banjir di Thailand mengorbankan 42 nyawa setakat ini dan menjejaskan 42 daripada 77 wilayah di negara itu. Bagaimanapun banjir di 19 wilayah sudah surut.
Menurut Jabatan Pencegahan Bencana dan Mitigasi, bah itu menjejaskan kehidupan kira-kira 3.64 juta penduduk Thailand, merosakkan 569,600 hektar kawasan pertanian; 5,930 batang jalan, 299 jambatan, 287 sekolah, 444 tokong dan 61 buah bangunan pejabat kerajaan.
- Bernama

