Lebih 1,000 ahli keluarga Lang Putih dari Thailand dan Malaysia berhimpun bagi merapatkan lagi ikatan kekeluargaan yang dipisahkan oleh sempadan kedua-dua negara itu.

Keluarga Lang Putih menerusi tiga beradik iaitu Alang, Puteh dan Hassan berasal dari Satun, Thailand dan dianggar lebih 250,000 orang berada di kedua-dua negara berjiran ini.

Generasi kelima waris Hassan, Datuk Ahmad Ali berkata ini merupakan pertemuan kali ketiga dibuat secara besar-besaran dengan mengumpulkan semua waris ketiga-tiga moyang mereka itu.

Ahmad, 62, berkata pertemuan pertama dan kedua dibuat di Satun dan Nakhon Si Thammarat, Thailand sejak dua tahun lepas sebelum dibuat di negara ini mengikut giliran.

"Kita adakan perhimpunan sempena sambutan Aidiladha dan kita kumpul waris Lang Putih untuk eratkan lagi hubungan persaudaraan terutamanya generasi muda," katanya kepada pemberita pada Majlis Perjumpaan dan Tahlil anjuran Pertubuhan Lang Putih di Hutan Kampung di Alor Setar semalam.

Ahmad berkata setiap kali pertemuan dapat menghimpunkan lebih 1,000 anggota keluarga Lang Putih membabitkan kedua-dua negara dan yakin dapat menghimpunkan lebih ramai lagi pada masa akan datang.

"Bukan mudah nak mencari semula waris yang ada ini dan dengan kemudahan teknologi kami berjaya satukan ahli keluarga yang tidak pernah kami kenal sebelum ini," katanya.

Hashim Azizan, 70, yang berasal dari Satun, Thailand, berkata tiga beradik itu merupakan pahlawan negara gajah putih dan Hassan telah berhijrah ke Malaysia ketika berlakunya perang antara Thailand dengan Perak pada 1820an.

Beliau yang merupakan keturunan daripada sebelah Alang, berkata setakat ini waris Lang Putih dianggar lebih 250,000 iaitu 200,000 orang berada Thailand selebihnya di negara ini.

Katanya Alang dan Putih meninggal dunia di Satun, Thailand manakala Hassan meninggal dunia di kepala Batas, Pulau Pinang.

"Aktiviti ini akan dijadikan sebagai acara tahunan keturunan Lang Putih dan dijangka pada tahun hadapan kita akan menghimpunkan seramai mungkin ahli keluarga yang ada untuk berkumpul di Nakhon Si Thammarat pula," katanya.

- Bernama