Tajol Rosli: Keputusan MT diumum di bahagian
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Tan Sri Tajol Rosli Ghazali mengesahkan bahawa keputusan bagi jawatan anggota Majlis Tertinggi dan bahagian esok akan diumumkan di bahagian masing-masing selepas mendapat pengesahan rasmi, lapor Bernama.
Seramai 144,297 perwakilan Umno di seluruh negara akan menentukan pucuk pimpinan parti di peringkat bahagian dan pusat secara serentak esok.
Ia membabitkan pemilihan tiga naib presiden dan 25 anggota MT oleh 191 bahagian Umno di seluruh negara.
Keputusan membenarkan bahagian mengumumkan keputusan pemilihan MT itu dipercayai ekoran desakan termasuk oelh badan perhubungan Umno Perak yang ia diumum di hadapan perwakilan bahagian masing-masing.
Ketika membuat gesaan itu semalam, Setiausaha Umno Perak, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib berkata langkah itu bertujuan untuk meningkatkan lagi ketelusan dan keterbukaan dalam proses pemilihan jawatan dalam Umno, sebagaimana yang dikehendaki oleh pucuk pimpinan parti dan ahli akar umbi.
Mohd Khusairi dilaporkan berkata, arahan yang menghalang pengumuman keputusan bagi jawatan-jawatan peringkat tertinggi parti dibuat di peringkat bahagian adalah terlalu janggal dan boleh mengurangkan kepercayaan ahli parti terhadap ketelusan parti.
Manakala Umno Bahagian Gelang Patah pula hari ini mengambil pendirian untuk mengumumkan keputusan jawatan MT yang dipilih oleh bahagian itu.
Pengerusi Tetap Umno Bahagian Gelang Patah Datuk Baharum Abd Ghani berkata, segala keputusan pemilihan Majlis Tertinggi yang dibuat oleh bahagian merupakan satu daripada agenda dalam mesyuarat bahagian, sehubungan itu segala keputusan mesti diumumkan dalam mesyuarat berkenaan.
"Segala keputusan yang dibuat dalam mesyuarat perlu direkodkan dalam mesyuarat Umno Bahagian, jika tidak mesyuarat di peringkat bahagian itu tidak sah.
"Umno pusat sendiri perlu jelas tentang perkara ini dan perlu mengikut peraturan mesyuarat," katanya kepada Bernama di Johor Bahru hari ini.
Sebelum ini, Umno Bahagian Gelang Patah turut mencetus kontroversi semasa Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Pemuda Sabtu lepas sehinggakan ia terpaksa ditunda ekoran ada kalangan perwakilan yang tidak berpuas hati dengan perjalanan mesyuarat tersebut.
Sementara itu, Bernama melaporkan Ibu Pejabat Umno mengesan terdapat cubaan mengedarkan buku senarai calon palsu, dipercayai bertujuan mengelirukan perwakilan bagi pemilihan MT esok.
Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh berkata buku calon palsu dengan muka depan tertera gambar kompas dan tulisan 'Kompas Pemilihan Umno 2013' itu diedar oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Beliau berkata pihaknya menerima laporan bahawa buku calon palsu itu diedar di beberapa bahagian di Perak seperti Tambun, yang maklumat di dalamnya dipalsukan dan nombor calon MT yang bertanding esok ditukar.
"Dalam buku calon palsu itu, calon nombor 11 sampai calon ke-63, nombor (calon) mereka tidak sama dengan buku calon sebenar yang diedar oleh urusetia (Jawatankuasa Pemilihan Umno) dan ibu pejabat," katanya kepada pemberita di ibunegara hari ini.
Ab Rauf mengingatkan semua perwakilan meneliti buku calon yang diterima bagi memastikan hanya buku calon yang tulen, tertera logo Umno dan bertulis 'Ahli Majlis Tertinggi' di muka depan, digunakan.
"Jika mereka dapat buku palsu itu, sila abaikan kerana ia tidak dikeluarkan oleh ibu pejabat Umno dan kita tidak mahu perwakilan keliru dan tertipu," katanya.
Ab Rauf berkata satu laporan polis akan dibuat dalam masa terdekat bagi mengesan individu bertangungjawab.
Mengulas peletakan jawatan 14 anggota jawatankuasa Wanita Umno Bahagian Kalabakan, Ab Rauf berkata sehingga kini ibu pejabat belum menerima sebarang laporan rasmi.
Katanya satu jawatankuasa khas akan diwujudkan selepas menerima laporan untuk menyelidik dan menyiasat kes itu.
"Jawatankuasa khas ini akan menerima dan mengambil kira semua bantahan yang dihantar ke ibu pejabat dan setelah siasatan dilakukan, barulah akan ada tindakan susulan sekiranya ada perkara-perkara yang dilihat ada asas untuk diambil tindakan," katanya.
Rabu lepas, kesemua 14 daripada 15 anggota jawatankuasa Wanita Umno bahagian Kalabakan dilapor meletak jawatan kerana tidak berpuas hati dengan pemilihan sayap pada Sabtu lepas.
- Bernama
| 1. Umno Gelang Patah umum sendiri keputusan MT esok | Remove | |
| 2. Umno Perak desak keputusan MT diumum di bahagian |

