Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Walau berusia kami miliki citarasa orang muda'
Diterbitkan:  Oct 20, 2013 7:27 AM
Dikemaskini: Oct 20, 2013 1:34 AM

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata walaupun berusia, trio naib presiden sebenarnya memiliki aspirasi dan pemikiran orang muda.

    

"Biarpun kami terdiri daripada tokoh atau orang-orang politik yang berumur lebih daripada 50 tahun tetapi pemikiran, citarasa dan gerak kerja yang dilakukan tetap mengambil kira cita rasa dan pola pemikiran generasi muda," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pusat media sempena pemilihan Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

    

Ahmad Zahid, 60, yang dipilih semula menduduki kerusi itu bagi penggal kedua bersama-sama Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, 56, dan Datuk Seri Hishammudddin Tun Hussein, 52, berkata pemilihan semula itu juga memberi peluang kepada mereka untuk terus menegakkan cita-cita orang Melayu dan kaum Bumiputera yang diwakili Umno.

    

Beliau berkata kepercayaan itu juga akan digunakan bagi membantu Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus memberikan nafas bagi kelangsungan perjuangan Umno, khususnya dalam menarik sokongan 6.5 juta pengundi baharu yang bakal mengundi dalam pilihan raya umum ke-14 yang akan datang.

    

"...dan tentunya keberadaan kami di dalam organisasi dan struktur kepimpinan ini akan dapat terus membantu memperkasakan institusi kepresidenan dan menterjemahkan aktiviti-aktiviti merelevankan Umno dengan kumpulan sasaran yang terdiri daripada mereka yang akan mengundi pertama kali pada PRU14," katanya.

    

Pemilihan kali ini menyaksikan Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri memperoleh 185 undi, manakala Mohd Shafie (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah) dan Hishammuddin (Menteri Pertahanan) masing-masing memperoleh 174 dan 100 undi.

    

Trio itu menewaskan Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir yang memperoleh 91 undi, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang masing-masing mendapat tujuh undi.

    

Sementara itu, Mohd Shafie menyifatkan mandat baru itu akan menjadi dorongan untuk beliau bekerja lebih kuat untuk parti dan kerajaan.

    

Menteri kemajuan luar bandar dan wilayah itu berkata mandat baru yang diberikan itu akan digunakan sebaik mungkin untuk membantu perdana menteri menjayakan agenda transformasi parti dan negara.

    

"Ini akan mendorong kita untuk langsungkan dan mantapkan lagi usaha transformasi yang sedang dilakukan oleh Najib, selaku presiden Umno.

    

"Saya memberi jaminan, selaku naib presiden, saya akan memberi sokongan padu dan tidak berbelah bagi untuk menjayakan agenda transformasi parti Umno agar ianya bukan hanya menjadi wadah perjuangan Umno tetapi seluruh rakyat Malaysia khususnya 13 juta pengundi yang ada yang akan  menentukan pemegang kuasa pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)," katanya ketika ditemui di Dewan Masyarakat Semporna.

Mengenai mesej yang ingin disampaikan oleh ahli Umno peringkat akar umbi dalam pemilihan kali ini, Shafie berkata perwakilan menunjukkan kebijaksanaan mereka dengan mengukur dan menilai pencapaian dan sumbangan calon untuk parti dan rakyat.

    

Mengenai sokongan perwakilan Umno Sabah terhadapnya, Shafie berkata beliau mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua bahagian Umno di negeri itu kerana memberi sokongan menggalakan malah ada yang cemerlang, kecuali beberapa bahagian.

    

Katanya sokongan yang diterimanya bukan sekadar dari bahagian itu sendiri tetapi dari  perwakilan di bahagian-bahagian berkenaan.

    

"Saya yakin mereka meletakkan harapan dan keyakinan di atas kepimpinan sedia ada untuk membolehkan saya terus memberi perkhidmatan kepada parti khususnya di kawasan-kawasan luar bandar,"katanya.

    

Beliau berharap selepas pemilihan parti, semua ahli Umno merapatkan semula barisan dan mengukuhkan perpaduan untuk berkhidmat bukan sahaja kepada parti dan kerajaan tetapi juga untuk menghadapi PRU-14 kelak.   

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS