Shahrizat: Wanita sayang Mukhriz
Keputusan pemilihan Umno yang menyaksikan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir tidak terpilih sebagai naib presiden tidak akan melemahkan semangat Wanita Umno untuk berkempen dalam pilihan raya kecil DUN Sungai Limau, Kedah.
Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil berkata undi tinggi yang diterima Mukhriz menunjukkan beliau sebenarnya diterima - malah disayangi Wanita Umno.
"Di mata kami Wanita, Datuk Mukhriz tak kalah. Datuk Mukhriz dia masuk bertanding, kita terima kemasukan Datuk Mukhriz dengan baik.
"Kami Wanita sayang presiden (Umno), timbalan presiden, MT (majlis tertinggi) dan kami sayang Datuk Mukhriz.
"Bagi kami Datuk Mukhriz diterima di seluruh negara," katanya kepada pemberita di Sungai Limau petang tadi.
'Azmin, bawa sajalah wawasan awak'
Beliau berkata demikian sewaktu melawat bilik gerakan Wanita Umno di Taman Mahsuri, Kampung Sungai Limau Dalam petang tadi.
Shahrizat yang berjaya mempertahankan jawatannya selepas menewaskan dua lagi pencabar meluangkan masa beramah mesra dengan penyokong-penyokong parti yang berada di bilik gerakan.
Ditemani Ketua Wanita Kedah, Datuk Maznah Hamid, Shahrizat turut meluangkan masa untuk sesi bergambar dengan petugas parti dengan berlatar belakangkan pemandangan sawah dan Gunung Jerai.
Pilihan raya kecil Sungai Limau ini merupakan ujian pertama buat Shahrizat selepas beliau mengekalkan jawatannya dalam parti.
Tambahan lagi, Wanita dilihat sebagai jentera tulang belakang kempen BN, terutamanya di kawasan-kawasan majoriti Melayu seperti di Kedah.
Menurut Shahrizat, Wanita Umno berazam untuk melakukan sentuhan peribadi pintu ke pintu dalam kempen selepas penamaan calon esok.
"Bagi kita tak ada kawasan 'hitam', kita akan masuk semua kawasan," katanya.
Beliau turut sempat mengulas cabaran Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali (atas) agar bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turun berkempen di Sungai Limau.
"Cabar-mencabar ini dah dinosauric. Awak bawa sahajalah awak punya wawasan ke sini," katanya.

