Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abd Rahim Bakri berkata sebanyak 20 kes kematian pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) telah direkodkan oleh pihaknya dan majoriti kes kematian pelatih disebabkan masalah kesihatan mereka.

NONE"Sejak program ini dimulakan (pada 2004), sebanyak 20 kes (kematian) sahaja. Bukan 22 kes kematian.

"Majoritinya disebabkan masalah kesihatan pelatih seperti leukemia, sakit jantung, masalah pernafasan yang tidak dapat dikesan dan lain-lain penyakit," katanya menjawab soalan lisan pagi tadi.

Menurutnya lagi, sebanyak satu kematian sahaja dilaporkan disebabkan "perselisihan faham serius" iaitu di Kem Muadzam Shah baru-baru ini.

"Kementerian memandang berat terhadap kes-kes tersebut ini dan akan bertindak sewajarnya khususnya melibatkan kecuaian dan ketidakpatuhan kepada SOP (prosedur operasi standard)," katanya.

Satu kes rogol

Abd Rahim (BN-Kudat) menjawab soalan dua ahli parlimen Pakatan Rakyat berhubung jumlah kematian melibatkan pelatih PLKN sejak diperkenalkan pada 2004.

Timbalan menteri itu juga memaklumkan sebanyak 442 kes melibatkan perselisihan faham sehingga sehingga kini dan sebanyak 242 kes telah dilaporkan kepada polis.

national service weapons training 160905 details"Baki kes telah diselesaikan dengan cara yang baik, tambahnya.

Katanya lagi, sehingga kini, terdapat satu kes rogol dilaporkan dan pihak yang terbabit dihukum penjara selama 12 tahun dan tiga sebatan.

Beliau juga turut memaklumkan sebanyak 752,643 orang pelatih PLKN telah berjaya dilatih melibat anggaran kos perbelanjaan sebanyak RM550 juta hingga RM650juta setahun.

Menurutnya, setakat akhir September tahun ini, melibatkan kos perbelanjaan sebanyak RM514 juta.