Mukhriz lucu, tergelak dengan isu gambar PAS
Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berasa lucu dengan penjelasan PAS yang menyalahkan pereka grafik berhubung kontroversi gambar calonnya yang diubahsuai untuk menunjukkan beliau mesra dan rapat dengan bekas menteri besar, Tan Sri Azizan Abdul Razak.
"Saya rasa terkejut, tergelak dan rasa pelik kenapa kempen kecil ini sanggup buat-buat foto ini untuk tunjuk hubungan calon dengan Azizan," kata Mukhriz pada sidang media petang tadi.
Menurutnya, taktik sedemikian adalah petunjuk jelas yang PAS sebenarnya merendah-rendahkan kebijaksanaan pengundi Sungai Limau.
"Saya ingat itu tak sepatutnya berlaku," katanya pada sidang media selepas majlis di Sekolah Menengah Kebangsaan Dulang, petang tadi.
"Ini penghinaan kepada pengundi seolah-olah mereka ini tak boleh buat penilaian yang bijaksana."
PAS pagi tadi menyalahkan pereka grafik yang mengubahsuai melalui pertindihan gambar calonnya bertemu dengan almarhum Tan Seri Azizan Abdul Razak di pejabat beliau seperti dimuatkan dalam risalah kempen mereka sebelum ini.
Anggota Dewan Undangan Negeri Anak Bukit, Datuk Ir Amiruddin Hamzah yang bertindak sebagai pengarah operasi pilihan raya PAS di Sungai Limau berkata pihaknya tidak ada niat untuk "mengada-adakan sesuatu yang tidak ada".
Beliau ju aberjanji akan menyiasat perkara itu dengan pereka grafik risalah tersebut.

