Pemain veteran negara Ong Beng Hee terpaksa memerah keringat sehingga set penentuan sebelum berjaya melangkah ke pusingan kedua Kejohanan Skuasy Lelaki Dunia 2013 di Manchester, England, Isnin.

Pada pusingan pertama di Kompleks Konvensyen Sentral Manchester, Beng Hee, 33, terpaksa bekerja keras sebelum menundukkan pemain Mesir, Karim Abdel Gawad dengan keputusan 11-9, 11-9, 2-11, 10-12 dan 11-8.

Beng Hee, yang menjuarai Kejohanan Royal Lake Club di Kuala Lumpur awal bulan ini, akan menghadapi laluan getir pada pusingan kedua esok apabila berdepan dengan seorang lagi pemain Mesir, Omar Mosaad.

Mossad, pemain pilihan ke-11, membuka kempen dengan menyingkirkan pemain Amerika Syarikat Chris Gordon dengan keputusan 11-6, 11-5 dan 11-8.

Seorang lagi wakil negara, Mohd Nafiizwan Adan akan memulakan cabaran dengan menentang pemain Mesir, Mazen Hashem, lewat Isnin.

- Bernama