Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Seri Idris Jala mempertahankan perutukan RM16.5 bilion bagi kementerian tersebut, yang menurutnya menjadi badan pelaksana penting.

Idris dalam laporan Utusan Malaysia menyebut, kementerian itu juga layak menerima peruntukan sebanyak itu kerana JPM menaungi banyak unit yang besar seperti Unit Perancang Ekonomi.

“Sebagai contoh, kesemua perbelanjaan modal (capex) negara selama ini disalurkan menerusi Unit Perancang Ekonomi. Unit ini sangat besar dan diletakkan bawah JPM.

“Untuk makluman, JPM ini sebanya adalah penyelaras kepada negara kita dalam pelbagai aspek, jadi sudah semestinya kita memerlukan peruntukan besar,” katanya seperti dipetik dalam laporan akhbar tersebut.

Beliau mengulas satu analisis disiarkan Malaysiakini pada hari Sabtu lalu bahawa peruntukan kali ini malah mengatasi jumlah RM15.62 bilion dalam bajet 2011.

Najib mengumumkan jumlah peruntukan sebesar itu untuk kementeriannya bagi 2014, walau berikrar untuk mengawal defisit negara.