JPJ kesan pemandu bas banyak saman
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menubuhkan satu bahagian baru di jabatan tersebut untuk mengenalpasti pemandu, termasuk pemandu bas yang mempunyai banyak saman.
Katanya, JPJ akan mengambil tindakan ke atas pemandu terbabit berdasarkan maklumat dalam pengkalan data yang diusahakan bahagian baru itu.
"Mengenai JPJ untuk menguatkuasakan pemandu yang mempunyai banyak saman, pihak JPJ mempunyai kekangan di atas perundangan.
"Bagaimanapun, saya telah berbincang dengan JPJ, dan bersetuju untuk membuat seksyen profiling pemandu. Maka kali ini, JPJ akan mengumpul data pemandu yang dianggap merbahaya.
"Pemandu ini diberi tumpuan melalui seksyen profiling ini. Kita senaraikan dan akan ambil tindakan kepada pemandu yang mempunyai saman yang banyak, yang boleh membahayakan pemandu jalan raya lain," katanya.
Aziz (BN-Sri Gading) menjawab soalan tambahan daripada Er Teck Hwa (DAP-Bakri) di Dewan Rakyat hari ini berhubung pemandu bas yang mempunyai banyak saman tidak sepatutnya dibenarkan memandu.
Aziz berkata pemandu bas dalam insiden bas terjunam di Genting Highlands Ogos lalu, mempunyai 16 saman dan pendakwaan masih belum dijalankan menyebabkan JPJ tidak dapat menyenarai hitam lesen pemandu tersebut.
Kes bas terjunam
Bagi mengelak daripada insiden kemalangan bas terjunam di Genting Highlands Ogos lalu, Abd Aziz berkata bas di laluan kawasan tinggi bakal diwajibkan memasang CCTV bagi merakamkan tingkah laku pemandu sewaktu dalam perjalanan.
Katanya, kamera litar tersebut akan dipasang di dalam kenderaaan itu sebagai antara mekanisme kerajaan bagi mengelak kemalangan berlaku di kawasan tanah tinggi.
"CCTV itu disimpan dalam tempoh seminggu," katanya menjawab soalan tambahan MP Bukit Bintang Fong Kui Loon.
Dalam sidang medianya kemudiannya, Aziz berkata antara JPJ boleh mengambil tindakan menggantung lesen atau membatal lesen khususnya pemandu kenderaan komersial.
"Ini kerana ia (kenderaan itu) berisiko besar dan membawa penumpang," katanya.
Mengulas lanjut mengenai tragedi bas terjunam itu, Aziz berkata Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) telah melengkapkan siasatan dan akan mengemukakannya kepada jawatankuasa khas yang diketuai Tan Sri Lee Lam Thye untuk tindakan lanjut.
"Jawatankuasa ini akan mengambil hasil sisatan yang disediakan MIROS untuk mereka diteliti. Mereka akan dua bulan lagi sebelum dibentang kepada menteri dan menteri akan bentang ke kabinet. Jadi siasatan telah selesai," katanya.

