Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang mencabar calon PAS Mohd Azam Abd Samat menjelaskan mengenai status satu projek pemprosesan petroleum bagi kawasan DUN Sungai Limau yang diumumkan oleh bekas menteri besar, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak pada 2009.

Tan berkata, calon pilihan raya kecil tersebut perlu menjelaskan mengenai projek dikenali sebagai Sulihh (Sungai Limau Hydrocarbon Hub) bernilai RM36 bilion, yang diuar-uarkan sebagai satu projek perindustrian terbesar di Kedah sebelum ini.

NONE"Tapi sehingga ke hari ini tiada apa-apa selepas lima tahun.

"Sebelum mereka hendak buat apa-apa janji lagi, jawab dahulu kenapa Sulihh ini gagal dimulakan," katanya tegas pada sidang media di bilik gerakan parti itu di Sungai Limau semalam.

Beliau secara sinis meminta pimpinan tertinggi PAS yang kini berkampung di Sungai Limau untuk membantu Azam menjelaskan perkara itu kepada orang ramai.

Selain itu, Azam juga perlu menjelaskan dakwaan kewujudan pengundi hantu dalam pilihan raya umum yang lalu.

Menurutnya, Azam tidak perlu membuktikan kewujudan 40,000 orang warganegara Bangladesh yang didakwa menjadi pengundi hantu.

Sebaliknya, beliau hanya perlu membuktikan kewujudan seorang pengundi hantu untuk menyokong dakwaan tersebut.

"Kalau dia tak boleh jawab juga, saya akan bagi lagi persoalan untuk beliau jawab," katanya.

Pilihan raya kecil N20 Sungai limau menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara calon BN, Dr Ahmad Sohaimi lazim dan calon PAS, Mohd Azam Abd Samat.

Ia diadakan berikutan kekosongan kerusi berkenaan, susulan kematian Allahyarham Azizan pada 26 September lalu.