Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
M'sia tangga ke-6 laporan perniagaan Bank Dunia
Diterbitkan:  Oct 29, 2013 6:44 PM
Dikemaskini: 10:47 AM

Malaysia melonjak ke tempat keenam daripada tangga ke-12 dalam kalangan 189 ekonomi dari segi mudah menjalankan perniagaan, demikian menurut edisi terkini Laporan Mudah Menjalankan Perniagaan Bank Dunia 2014.

Tempat keenam itu daripada tangga ke-12 sebelumnya juga merupakan bukti kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kejayaan program transformasi ekonomi dan kerajaan beliau, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Menterinya Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Malaysia berada di kedudukan ke-23 semasa Najib, yang juga Menteri Kewangan, mengambil alih kepimpinan pada 3 April, 2009.

Malaysia mencapai kedudukan ini lebih awal daripada sasarannya untuk berada dalam kalangan 10 teratas pada 2015, kata beliau dalam satu kenyataan mengenai laporan tersebut yang dikeluarkan pada hari ini.

NONE"Pada tangga ke-6, Malaysia berada setaraf dengan Singapura, Hong Kong, New Zealand, Amerika Syarikat dan Denmark.

"Ranking ini juga menempatkan Malaysia mendahului ekonomi-ekonomi seperti Korea Selatan, Norway, United Kingdom, Australia dan Finland," katanya.

Mustapa berkata Malaysia juga meraih tempat pertama dari segi mendapatkan kredit dan keempat dari segi melindungi pelabur enam tahun berturut-turut.

"Dalam bahagian dagangan rentas sempadan, Malaysia mencatatkan kejayaan di tempat kelima, dan peningkatan ketara dicatatkan dalam bahagian memulakan perniagaan, berurusan dengan permit pembinaan, menguatkuasakan kontrak, menyelesaikan ketakmampuan bayar dan mendapatkan bekalan kuasa elektrik," katanya.

Beliau berkata Malaysia telah menjadikan langkah untuk memulakan perniagaan lebih murah dengan mengurangkan yuran pendaftaran syarikat, manakala ketika berurusan dengan permit pembinaan, penubuhan pusat sehenti telah memudahkan proses pembinaan.

"Malaysia menyambut baik laporan Bank Dunia itu. Ia merupakan bukti kepada usaha yang dijalankan oleh sektor awam dan swasta untuk membantu Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.

"Pasukan Petugas Khas untuk Memudahkan Perniagaan (Pemudah) telah terbukti menjadi platform di mana sektor awam dan swasta bekerjasama untuk mewujudkan tindakan segera dalam menambah baik penyediaan perkhidmatan kerajaan, meningkatkan daya saing Malaysia serta memastikan perniagaan dapat dipermudahkan dengan cekap," katanya.

Sejak dimulakan pada 2007, prestasi Malaysia dalam laporan Mudah Menjalankan Perniagaan Bank Dunia telah meningkat daripada tempat ke-25 ke tangga keenam.

Tahun ini merupakan lonjakan terbesar negara dalam rangking daya saing, memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pilihan bagi perdagangan dan pelaburan dalam kalangan pelabur tempatan dan asing.

"Walau apa pun peningkatan ketara ini, kerajaan sedar bahawa ia tidak boleh cepat berpuas hati.

"Ketika kita melangkah ke hadapan, kami akan cuba melakukan lebih banyak lagi, menyedari persaingan yang dihadapi Malaysia di peringkat serantau dan global.

"Cabaran utama kita bukan hanya sekadar menangani ketidakcekapan operasi dalam penyediaan perkhidmatan tetapi juga dalam mengkaji semula peraturan bagi mengurangkan lagi beban menjalankan perniagaan di Malaysia," kata Mustapa.

- Bernama

ADS