Keluarga Azizan sedia maafkan Muhyiddin
Keluarga Allahyarham Tan Sri Azizan Razak menerima permohonan maaf oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kenyataan timbalan perdana menteri itu ketika berucap mengenai penghapusan subsidi gula, Sabtu lalu.
Balu kepada Azizan, Puan Sri Faekah Sheikh Hamzah dalam laporan Sinar Harian berkata, keluarganya sedia memaafkan Muhyiddin, yang telahpun memohon maaf atas ucapan tersebut pada hari Selasa lalu.
“Saya sedia memaafkan dan percaya kemungkinan kenyataan itu disalah tafsir pihak tertentu dan disebarkan secara tidak betul,” katanya seperti dipetik dalam laporan tersebut.
Katanya, beliau mengenali hati budi Muhyiddin, yang telah menziarahi Azizan beberapa kali ketika Allahyarham menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang dan Hospital Sultanah Bahiyah.
Muhyiddin dalam ucapan kontroversi itu mempertahankan pengurangan subsidi gula sebanyak 34 sen yang diumumkan kerajaan dalam pembentangan Bajet 2014.
Menurutnya, ia dilakukan untuk manfaat orang ramai dan hadirin yang hadir perlu mengambil iktibar daripada penyakit kencing manis yang dideritai Azizan.
Allahyarham Azizan terpaksa menjalani pembedahan memotong kedua-dua belah kakinya akibat komplikasi penyakit kencing manis.
Pilihan raya kecil tersebut diadakan susulan kekosongan kerusi selepas Azizan yang juga penyandang kerusi DUN Sungai Limau meninggal dunia pada 26 September lalu.

