Khairy mahu padang sintetik siap ikut jadual
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mahu pembinaan padang bola sintetik di Kompleks Sukan Gong Badak di Kuala Terengganu disiapkan mengikut jadual asal pada 30 Disember ini.
Katanya beliau tidak mahu masalah dalam kerja-kerja tanah yang dilapor punca kelewatan 67 hari itu dijadikan alasan oleh kontraktor untuk terus melengahkan projek.
"Saya telah minta Jabatan Kerja Raya memantau perkembangan projek ini dan memastikannya siap ikut jadual," katanya kepada pemberita, selepas melawat projek itu hari ini.
Khairy berkata kontraktor juga berdepan tindakan denda jika gagal mematuhi tarikh yang dipersetujui dalam kontrak itu.
Projek itu yang bermula 2 Julai lepas dijadualkan siap hujung tahun ini namun setakat ini pembinaannya hanya siap 12 peratus.
Padang bernilai RM1.8 juta itu merupakan yang kedua di Terengganu selepas padang pertama di Kampung Tok Jiring siap pada awal Februari lalu.
Setakat ini 10 padang sintetik berjaya disiapkan mengikut jadual di seluruh negara.
- Bernama

