Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia pada prinsipnya menentang sebarang kegiatan pengintipan terhadap mana-mana kerajaan kerana ia melibatkan soal kedaulatan negara.

Beliau berkata Malaysia telah menghantar nota bantahan kepada pejabat Kedutaan Amerika Syarikat (AS) dan Suruhanjaya Tinggi Australia di Putrajaya berhubung dakwaan pengintipan dilakukan di negara ini, lapor Bernama.

Najib berkata beliau dimaklumkan bahawa Presiden Amerika Syarikat Barack Obama telah mengarahkan satu kajian semula dilakukan terhadap semua kegiatan pengintipan oleh pihak negara itu.

"Jadi, kita menantikan kajian semula tersebut. Kita berharap perkara ini tidak menjadi kontroversi pada masa akan datang," katanya dalam sidang media selepas sambutan Maal Hijrah 1435H/2013M peringkat kebangsaan bertema "Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah" di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di Putrajaya hari ini.

Perdana Menteri turut mempersoalkan sejauh mana pengintipan yang didakwa dilakukan terhadap kerajaan Malaysia dalam mengumpul maklumat tentang ancaman kepada keselamatan mereka yang melibatkan soal keganasan, senjata pemusnah besar-besaran, jenayah merentas sempadan dan sebagainya.

Najib berkata Wisma Putra telah mendapatkan penjelasan daripada duta AS dan Pesuruhjaya Tinggi Australia di Malaysia berhubung dakwaan mengenai kegiatan pengintipan di kedutaan negara itu di sini.

"Kami telah ambil langkah apa yang dikatakan sebagai respons sewajarnya di pihak kami dan mempertahankannya dari segi soal prinsip," katanya seperti dilaporkan agensi berita nasional.

Baru-baru ini, akhbar Der Spiegel dan Sydney Morning Herald melaporkan pemberi maklumat perisikan, Edward Snowden mendedahkan bahawa risikan dibuat ke atas Malaysia oleh kedutaan Amerika Syarikat dan Suruhanjaya Tinggi Australia bagi memintas maklumat radio, telekomunikasi dan Internet.

Snowden mendedahkan risikan itu dijalankan di bawah operasi ‘STATEROOM' yang turut membabitkan Britain dan Kanada.