Ancaman pemusnahan budaya Orang Asal
ULASAN Masyarakat sivil Malaysia memprotes pencabulan Hak Asasi Bumiputera Sarawak (Orang Asal) dalam pembinaan empangan janakuasa hidroelektrik di Bakun, Murum dan Baram, Sarawak.
Kerajaan negeri Sarawak bawah pemerintahan Ketua Menteri Taib Mahmud telah mencabuli hak Bumiputera Sarawak secara berterusan melalui:
Rampasan tanah milik bumiputera Sarawak untuk pembalakan haram.
Pembinaan tiga empangan mega di Batang Ai, Bakun dan Murum serta pembinaan terancang sembilan lagi empangan di Baram dan daerah-daerah lain yang menyebabkan air sungai melimpah.
Pemindahan monokultur minyak kelapa sawit secara berleluasa ke kawasan milik Bumiputera Orang Asal Sarawak.
Penghasilan sisa toksik, pencemaran dan penggunaan tenaga yang banyak oleh industri-industri peleburan di kawasan industri (SCORE) sepanjang pesisir pantai Sarawak.
Pemusnahan alam sekitar secara terancang dan dahsyat ini membawa kesan yang tidak dapat dibaik pulih kepada komuniti bumiputera Orang Asal.
Mereka telah melindungi hutan sejak zaman-berzaman sebagai sumber makanan, kawasan ladang kecil-kecilan, tempat penempatan (rumah panjang), tempat penyembahan dan tanah pengebumian mereka.
Kehidupan mereka dan adat resam mereka bergantung kepada tanah serta hutan yang tidak diteroka. Tanah adalah jiwa Orang Asal.
Pengusiran Orang Asal daripada tanah-tanah mereka terbukti menjadi pemusnahan budaya. Penempatan semula secara paksa Orang Asal ke Sungai Asap untuk membuka jalan kepada pembinaan Empangan Bakun menyebabkan kemiskinan dan kesusahan dalam komuniti Orang Asal tersebut.
Penempatan baru yang disediakan kerajaan di sebahagian daripada kawasan ladang kelapa sawit dan tidak sesuai untuk penanaman padi bukit dan pelbagai tanaman lain.
Penempatan tersebut juga terletak jauh daripada kawasan hutan yang pernah didiami mereka. Sekolah-sekolah dan klinik-klinik yang dipohon oleh komuniti Orang Asal kepada pihak kerajaan tidak mencukupi.
Di samping itu, kemudahan-kemudahan yang disediakan dibina secara tidak teliti dan sambil lewa serta kebanyakannya tidak berada dalam keadaan bersih dan selamat.
Penempatan semula secara paksa ini boleh disamakan dengan penempatan "kampung baru" ketika Perintah Darurat pada tahun 1948 hingga 1960 di Persekutuan Tanah Melayu. Tambahan pula, keadaan hidup Orang Asal ini menyerupai keadaan di kem perlindungan pelarian.
Kepungan di Murum & Baram
Sejak 23 September 2013, komuniti-komuniti Penan di Murum memulakan kepungan kali ketiga sebagai tindak balas terhadap kegagalan kerajaan negeri dan badan berkaitan memberikan pampasan dan ganti rugi yang adil.
Seluruh komuniti Penan termasuk wanita dan kanak-kanak berkumpul dan bertahan bawah terik matahari dan hujan lebat semenjak enam minggu lepas bagi menyuarakan protes mereka.
Komuniti Orang Ulu di Baram juga memulakan kepungan semenjak 23 Oktober 2013 bagi menghalang kerja-kerja pembinaan Empangan Baram daripada terus dijalankan.
Mereka, secara aman meminta pekerja di Empangan Baram meninggalkan kawasan tersebut. Pekerja empangan memenuhi permintaan mereka dan meninggalkan lokasi pembinaan secara aman. Kerja-kerja pembinaan Empangan Baram yang dilakukan dihentikan.
Desakan masyarakat sivil
Gerakan hak asasi Orang Asal di Malaysia secara umumnya, dan gerakan hak asasi Orang Asal di Murum dan Baram secara spesifiknya tidak terpisah dengan gerakan masyarakat sivil Malaysia dalam menentang ketidakadilan dan penindasan secara seluruhnya.
Kami memprotes dengan keras penindasan yang dilakukan ke atas kami seperti ini. Desakan-desakan Orang Asal di Murum dan Baram juga sebahagian daripada desakan kami.
Masyarakat sivil Malaysia mendesak kerajaan negeri, badan, kontraktor dan agen berkaitan dengannya supaya:
(1) Serta merta menghentikan proses penakungan air di Empangan Murum dan menghentikan pembakaran rumah-rumah panjang milik komuniti Penan di Murum.
Seterusnya, mereka perlu mengadakan rundingan secara adil dan terbuka dengan komuniti Penan tanpa unsur ugutan, paksaan, korupsi dan salah guna kuasa atau percubaan untuk memisahkan komuniti tersebut kepada kelompok-kelompok kecil.
(2) Serta merta menghentikan kerja berkenaan kaji selidik dan pembinaan Empangan Baram.
(3) Polis Diraja Malaysia (PDRM) hendaklah menghentikan sekatan jalan raya yang dijalankan bagi membolehkan bekalan makanan dan minuman, bantuan perubatan, sukarelawan, wartawan dan pekerja media alternatif keluar masuk ke Murum tanpa sebarang gangguan.
Polis juga perlu memberikan khidmat yang paling profesional dalam melindungi Orang Asal di Murum dan Baram yang cuma mempertahankan hak asasi mereka yang dilindungi bawah Perlembagaan Malaysia, untuk hidup dengan aman di Malaysia.
Kenyataan ini dikeluarkan oleh Kumpulan Bertindak Menentang Pembinaan Empangan dan dipersetujui oleh 80 organisasi masyarakat sivil di Malaysia.

