Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat pelbagai kaum di negara ini supaya berpegang kepada dua perkara asas untuk memastikan negara terus kekal harmoni dalam apa jua keadaan.

Perdana menteri berkata yang pertama rakyat perlu saling bekerjasama dalam satu ikatan permuafakatan bagi memastikan negara mampu menghadapi apa jua cabaran yang mendatang.

"Yang kedua beri ruang supaya kekayaan budaya kita menyerlah agar ia dapat dilihat sebagai satu kekuatan dan pelancong dari luar negara dapat melihat Malaysia sebagai negara yang kaya dengan kebudayaan untuk dipertontonkan kepada dunia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2013 di Dataran Bandaraya Johor Baharu di Johor Bahru semalam. Turut hadir isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Majlis anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan itu turut dihadiri  menteri berkenaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel.

Sehubungan itu, Najib menyeru rakyat di negara ini termasuk masyarakat India untuk menerus dan memperkukuhkan ikatan persefahaman serta kerjasama antara kerajaan dan komuniti yang dijalinkan selama ini berasaskan 'nambikei' (kepercayaan).

"Kerjasama antara kita akan terus memastikan kualiti hidup yang lebih baik untuk generasi masa kini dan yang akan datang.

"Kalau kekuatan gajah terletak pada 'thumbikei' atau belalainya, kekuatan seseorang manusia terletak pada 'nambikei' atau kepercayaannya," kata perdana menteri.

Sementara itu, Najib berkata kerajaan komited untuk merealisasikan segala aku janji yang diikrarkan untuk pembangunan masyarakat India semasa pilihan raya umum ke-13.

Komitemen itu, katanya jelas menerusi beberapa inisiatif seperti yang diumumkan dalam Bajet 2014 termasuk peruntukan tambahan RM50 juta untuk pembangunan infrastruktur sekolah Tamil.

Selain itu sebanyak RM100 juta juga diperuntukan bagi meningkatkan pencapaian pembelajaran di sekolah-sekolah Tamil dan latihan kemahiran serta dana sebanyak RM50 juta untuk Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) di bawah Tekun Nasional serta pinjaman daripada Amanah Ikhtiar Malaysia.

Najib berkata kerajaan telah memberi perhatian khusus terhadap banyak bidang yang meliputi kehidupan masyarakat India dengan mengambil pelbagai pendekatan baharu yang inovatif untuk membawa perubahan positif kepada kaum itu.

"Contohnya sejak 2009 hingga 2013 kerajaan memperuntukkan RM560 juta bagi pembangunan infrastruktur sekolah-sekolah Tamil seluruh negara.

"Saya amat kagum apabila dimaklumkan dalam pembentangan Pelan Tindakan Masa Depan Sekolah-sekolah Tamil bahawa sejak lima tahun lalu jurang pencapaian dalam kalangan SJKT dikurangkan 50 peratus dan jurang antara SJKT dengan sekolah kebangsaan dan SJKC adalah kurang daripada empat peratus," kata perdana menteri.

Gred Purata Nasional Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi SJKT juga, kata perdana menteri meningkat daripada 2.58 peratus pada 2010 kepada 2.44 peratus pada tahun berikutnya.

Trend sama dapat dilihat dalam pencapaian subjek Matematik iaitu daripada 92.5 peratus pada 2011 kepada 94.1 peratus pada tahun lepas manakala Sains mencatat pencapaian 87.6 peratus pada 2012, katanya.

Najib berkata bidang keusahawanan pula menyaksikan kelahiran ramai usahawan baharu daripada kaum itu dan sehingga Oktober tahun ini, lebih 19,000 usahawan India menerima bantuan kewangan berjumlah RM227 juta.

- Bernama