Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel berkeras bahawa tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ke atas kuil Sri Muneswarar Kaliyaman di Jalan P Ramlee pagi semalam tidak termasuk tempat ibadat.
"Saya telah menerima laporan kuil telah dirobohkan tetapi hanya di bahagian sisi kuil sahaja, hanya satu binaan kuil sahaja dirobohkan sementara kuil masih kukuh." katanya dalam satu sidang akhbar pagi tadi.
Pihak berkuasa tempatan menjelaskan bahawa kuil itu telah melebihi kawasan dan bahagian kuil yang ditambah perlu dirobohkan untuk tujuan pembangunan projek.
Satu cubaan perobohan oleh DBKL September lalu gagal, selepas aktivis menyekat pegawai terlibat daripada menjalankan kerja.
Kerajaan kemudian menghentikan sementara proses perundingan dengan pemilik kuil.
Bagaimanapun, pemilik kuil mendakwa DBKL menjalankan perobohan secara mengejut pagi semalam dan mengeluarkan sebahagian daripada kuil.
Tambah beliau lagi, DBKL telah merobohkan lebih daripada yang sepatutnya dan menceroboh struktur kuil.
