Faktor cuaca, kemanusiaan, infrastuktur serta fizikal di Lapangan Terbang Kudat merupakan antara faktor nahas pesawat ringan Twin Otter milik MASWings di sebuah kampung di Kudat, Sabah 10 Okt lepas.

plane crash in kudat 101013 02Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata faktor itu diperoleh daripada laporan awal Bahagian Siasatan Kemalangan Udara Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Penerbangan Awam Malaysia, yang diarah menyiasat nahas itu.

"Ini laporan awal yang saya minta mereka keluarkan secepat mungkin seperti insiden bas di Genting Highlands. Laporan penuh akan dimaklumkan kepada saya dalam masa sebulan lagi," katanya pada sidang akhbar mengenai penghantaran bantuan kemanusiaan kepada mangsa taufan Haiyan di Filipina, di sini hari ini.

Pada 10 Oktober lepas, penerbangan MH3002 MASwings dari Kota Kinabalu ke Kudat terhempas dan merempuh sebuah rumah di Kampung Sinsan, Kudat pada pukul 2.50 petang menyebabkan seorang penumpang Tan Ah Chai, 96, dan pembantu juruterbang Marc Joel Bansh, 23, terbunuh.

Semasa kejadian, pesawat yang membawa 16 penumpang itu dalam penerbangan dari Kota Kinabalu ke Kudat.

-Bernama