Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah keluar waran tangkap 'Tuhan Harun'
Diterbitkan:  Nov 13, 2013 9:54 PM
Dikemaskini: 1:56 PM

Mahkamah Rendah Syariah Kuantan hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap Harun Mat Saat, atau dikenali sebagai 'Tuhan Harun' selepas ketua kumpulan ajaran sesat itu gagal hadir buat kali kedua untuk proses pengurusan kesnya semalam.

    

Harun, 47, yang menghadapi 10 pertuduhan mengikut Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982, juga gagal hadir pada sebutan pertama kesnya, 20 Ogos lepas.

    

Hakim Syarie Abdul Wahid Md Ali Al-Fakwie mengeluarkan waran itu selepas permohonan dikemukakan Ketua Pendakwa Syarie negeri Salehuddin Ab Manaf.

    

Pada 24 April lepas, Harun didakwa atas satu pertuduhan di Mahkamah Tinggi Syariah dan 10 pertuduhan di Mahkamah Rendah Syariah termasuk menyebarkan ajaran sesat dan menghina agama Islam dengan mengaku sebagai tuhan.

    

Tertuduh yang tidak mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan dibebaskan dengan ikat jamin RM15,000 bersama dua penjamin.

Sementara itu, Ketua Polis Pahang Datuk Shariffuddin Abdul Ghani ketika dihubungi mengesahkan mengenai waran tangkap itu dan berkata polis akan membantu Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) mengesan Harun dan para pengikutnya yang kini dipercayai sedang bersembunyi.

    

Kumpulan ajaran sesat Tuhan Harun kini diburu bagi membantu pihak polis dalam siasatan kes bunuh Ketua Penguatkuasa Agama JAIP Ahmad Raffli Abdul Malik, 49, Ahad lepas.

    

Ahmad Raffli atau dikenali sebagai Ustaz Raffli, mati selepas terkena

tembakan di dada kanan dan kerongkong yang dilepaskan seorang daripada tiga suspek yang tidak dikenali.

    

Shariffuddin berkata setakat ini hanya dua daripada 31 pengikut kumpulan Tuhan Harun yang telah menyerah diri dan kenyataan mereka telah direkodkan.

    

"Saya harap 29 lagi pengikut kumpulan ini akan turut serah diri seperti yang diminta oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar bagi membantu siasatan kes berkenaan," katanya.

    

Bagaimanapun, katanya, kedua-dua anggota kumpulan yang menyerah diri itu gagal mengecam suspek pertama kes tembak berkenaan.

    

Dikenali sebagai seorang penguatkuasa agama yang tegas, Ustaz Raffli dipercayai mengendalikan dua kes jenayah syariah melibatkan kumpulan ajaran sesat Tuhan Harun dan gerakan Syiah di Pahang.

- Bernama

ADS