Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) diminta mengemukakan cadangan bagi menaikkan gred Allahyarham Ahmad Raffli Ab Malik yang mati ditembak pada Ahad lepas.

    

Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-Tugas Khas Pahang Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata Ketua Bahagian Penguatkuasaan Agama JAIP itu sebelum meninggal dunia menjawat gred 48.

    

"Cadangan itu perlu dikemukakan kepada kerajaan negeri dan Jabatan

Perkhidmatan Awam, ianya bagi menghargai jasa yang diberikan selain dapat meningkatkan kebajikan untuk ahli keluarga (Allahyarham)," katanya kepada pemberita selepas majlis tahlil untuk Allahyarham di Kuantan, malam tadi.

    

Dalam majlis itu, kerajaan negeri menyampaikan sumbangan RM25,000 kepada balu Allahyarham Rosmahawani Abd Wahab.

    

Sementara itu, JAIP juga telah menubuhkan satu jawatankuasa siasatan dalam yang diketuai Timbalan Pengarah Datuk Mohd Ghazali Abdul Aziz.

Pengarahnya Datuk Mohamad Roslan Harun berkata, siasatan dalaman yang dilaksanakan itu adalah bagi menambah baik bahagian keselamatan dan penguatkuasaannya.

    

Katanya, hasil siasatan itu juga akan diserahkan kepada pihak polis.

    

Ahad lepas, Ahmad Raffli, 49, mati akibat ditembak dari jarak dekat oleh seorang daripada tiga suspek yang datang ke rumahnya di Indera Mahkota 2, dekat Kuantan.

    

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan empat anak iaitu Mohd Asyraff, 22, Mohd Abrar, 20, Mohd Amin, 15, dan Mohd Akashah, 12.

        

- Bernama