Ghapur lapor polis SMS didakwa hasut perwakilan
Ketua Umno Kalabakan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh membuat laporan polis berkaitan penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) yang didakwa menghasut perwakilan parti itu agar tidak menghadiri pemilihan semula 14 ahli jawatankuasa (AJK) Wanita bahagian berkenaan.
Beliau berkata laporan itu dibuat semalam bagi membolehkan siasatan polis dibuat meskipun selepas pemilihan selesai dijalankan.
"Saya sendiri turut menerima SMS yang berbaur menghasut ahli wanita agar tidak hadir pada pemilihan semula itu," katanya kepada pemberita di SK Kukusan hari ini.
Menyentuh pemilihan hari ini, Abdul Ghapur yang juga ahli Parlimen Kalabakan, berkata 538 daripada 889 perwakilan berdaftar hadir pada mesyuarat itu dan jumlah ini melebihi kuota yang ditetapkan, oleh itu keputusannya tidak boleh dipertikai.
Mengulas kenyataan mantan Ketua Wanita Umno Kalabakan Datuk Hamisa Samat, yang mempertikai kesahan pemilihan hari ini, Abdul Ghapur berkata Umno adalah parti yang memperjuang nasib bangsa, agama dan perpaduan serta tulang belakang kerajaan Barisan Nasional (BN).
"Kita harus ingat Umno ini bukan parti saya, saya hanya ahli yang dipilih menjadi pemimpin, esok orang lain pula akan menjadi pemipin. Jadi, kita perlu saling sokong-menyokong," katanya.
- Bernama

