IGP: Jangan dedah terlalu banyak maklumat kes culik
Ketua polis negara Tan Sri Khalid Abu Bakar meminta pengamal media untuk tidak mendedahkan terlalu banyak maklumat mengenai kes penculikan seorang wanita Taiwan di Sabah kerana bimbang perkara itu akan membahayakan nyawa individu terbabit.
Beliau yang menegur laporan akhbar The Star hari ini berkata, media sepatutnya bertindak dengan beretika dan prihatin dengan keselamatan mangsa culik berkenaan.
Suami kepada wanita terbabit dibunuh oleh kumpulan bersenjata di kawasan resort percutian Pulau Pom Pom dan wanita itu pula dilarikan oleh kumpulan terababit.
Khalid berkata polis memahami kepentingan media dalam menyiarkan berita namun media perlu memahami bahawa nyawa wanita tersebut menjadi taruhan.
"Jadi, tolonglah tulis dengan beretika supaya ia tidak membahayakan keselamatannnya kerana (maklumat tertentu) akan memberi keuntungan kepada pengganas,” kata Khalid.
Katanya polis Malaysia sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Filipina untuk memastikan keselamatan mangsa culik Taiwan itu, yang kini dikatakan berada di tangan pengganas Filipina.
Akhbar hari ini antara lainnya mendedahkan bahawa mangsa culik berkenaan didakwe mempunyai hubungan rapat dengan isteri presiden Taiwan kerana mereka pernah menuntut di sekolah yang sama.

