Perwakilan PAS dari Pulau Pinang mendakwa ketegangan yang berlaku antara PAS dan Kerajaan negeri Pulau Pinang dalam pentadbiran hal ehwal Islam negeri itu disebabkan tekanan dan hilangnya kuasa.

Mohd Raduan Ramli menyatakan PAS Pulau Pinang seolah 'pak turut' perkara yang sepatutnya dipegang mereka.

"Sejak pilihan raya mesyuarat Pakatan hanya tiga kali sahaja tiada medan untuk berbincang atau memberi pendapat.

"Bukan soal gila kuasa tapi ini saja cara untuk bersuara.

"PAS Pulau Pinang seolah diletakkan di kerusi pemandu tetapi stering kereta dikawal oleh orang lain," kata beliau ketika membahas ucap utama ketua pemuda PAS Nasrudin Hasan di Dewan Sivik MBPJ.

Mohd Raduan turut meminta agar pihak lain bertanya dahulu kepada PAS Pulau Pinang sebelum membuat kesimpulan mereka 'gila kuasa'.

Henti berkeras 'hingga titisan darah'

Sementara itu, perwakilan Melaka Azizan Lim pula mengesa PAS mengambil sikap lebih terbuka dan bertoleransi dengan sekutu politik dalam Pakatan Rakyat.

Perwakilan Melaka Azizan Lim berkata, sikap 'keras' yang diambil menyebabkan masyarakat bukan Islam semakin jauh dengan parti Islam itu.

"Berhenti mempertahankan perbezaan pandangan sehingga titisan darah terakhir. Ini hanya politik.

"Ini bukan Palestin, Ini politik fikrah ada toleransi dengan rakan tahaluf masing-masing," katanya dalam perbahasan di muktamar Pemuda PAS ke-54 hari ini.