Perlu dana cukup semak akreditasi kolej perubatan asing
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mahu Majlis Perubatan Malaysia (MMC) perlu diberi dana dan kemudahan secukupnya bagi menyemak semula akreditasi yang dikeluarkan kepada kolej perubatan asing setiap tiga tahun.
Presidennya, Datuk Dr NKS Tharmaseelan berkata ini kerana kaji selidik Kementerian Kesihatan dua tahun lepas mendedahkan bahawa prestasi 1,900 pelatih perubatan tidak memuaskan; 20 peratus daripada pelatih perubatan terpaksa melanjutkan tempoh latihan; 17 peratus pelatih tidak memiliki kelayakan minimum lima kredit B4 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia untuk memasuki kolej perubatan dan 20 peratus daripada pelatih perubatan tidak mempunyai pengetahuan
asas perubatan.
"Saya tidak yakin satu kajian semula pernah dilakukan terhadap mana-mana 375 kolej perubatan yang sudah diberi pengiktirafan di negara ini," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau juga berkata MMC harus menarik balik akreditasi kolej perubatan serta-merta jika mendapati ada yang lebih mementingkan keuntungan berbanding kualiti kerana ini hanya akan merosakkan sistem penjagaan kesihatan di Malaysia.
- Bernama

