Pemain bola sepak Iran, Javad Nekonam yang bermain untuk Esteghlal, berharap dapat mengakhir musim ini dengan merangkul gelaran 'Player of The Year' Konfederasi Bola Sepak Asia 2013 dalam majlis yang dijadualkan di Kuala Lumpur malam ini.

Pemain berusia 33 tahun itu dijangka berdepan cabaran sengit daripada dua lagi calon iaitu kapten FC Seoul, Ha Dae Sung dari Korea Selatan dan pemain antarabangsa China, Zheng Zhi yang sekarang bermain untuk Guangzhou Evergrande.

"Saya gembira dicalonkan untuk anugerah tahun ini bersama-sama dua lagi dan saya percaya kami semua berpeluang untuk merangkul anugerah berprestij itu," katanya dalam sidang media menjelang majlis itu, di Kuala Lumpur semalam.

Sentimen Javad dikongsi oleh Dae Sung. Beliau yang pertama kali dicalonkan berharap dapat merangkul anugerah itu sebagai pengubat hati selepas pasukannya kalah dalam dua perlawanan timbal balas peringkat akhir menentang Guangzhou Evergrande untuk kejuaraan Liga Juara-juara Asia (ACL).

"Alangkah bagusnya jika pasukan kami menang ACL, bagaimanapun saya berterima kasih kepada rakan sepasukan dan juga jurulatih atas sokongan mereka kepada saya," kata Dae Sung.

Sementara itu, bekas Naib Presiden FIFA Dr Chung Mong-Joon dipilih oleh Jawatankuasa Eksekutif AFC sebagai penerima anugerah berprestij 'AFC Diamond of Asia' semasa mesyuaratnya di Bahrain pada 22 Julai lalu.

Anugerah itu sebagai menghargai sumbangan beliau antaranya membawa Kejohanan Piala Dunia FIFA ke Asia untuk pertama kali pada 2002 yang dihos secara bersama oleh Jepun dan Korea Selatan.

Senarai Calon Untuk Anugerah Tahunan AFC 2013:

Player of the Year

Ha Dae-Sung (FC Seoul/Korea Selatan)

Javad Nekonam (Esteghlal/Iran)

Zheng Zhi (Guangzhou Evergrande/China)

Asian International Player of the Year

Keisuke Honda (Jepun/CSKA Moscow)

Son Heung-Min (Korea Selatan/Bayer Leverkusen)

Yuto Nagatomo (Jepun/Inter Milan)

Club of the Year

FC Seoul (Korea Selatan)

Guangzhou Evergrande (China)

Kuwait SC (Kuwait)

- Bernama