Tiga puluh lapan anggota perwakilan Pemuda MIC termasuk ketua Pemuda yang baru dipilih C Sivarraajh dilarang mengundi pada pemilihan parti peringkat nasional pada 30 November, berikutan beberapa keraguan yang timbul.

Ini diumumkan oleh setiausaha agung parti A Sakthivel di ibu pejabat MIC di Kuala Lumpur hari ini.

Bercakap kepada Bernama ketika dihubungi, beliau berkata keputusan itu dibuat oleh jawatankuasa pemilihan parti berikutan dakwaan berlaku penipuan undi dan salah laku pada pemilihan sayap Pemuda MIC Kebangsaan pada 16 November.

Pada pemilihan itu, Sivarraajh mendapat 278 undi, 44 melebihi undi penentangnya, timbalan ketua pemuda V Mugilan.

"Kami terima aduan dua hari lepas, yang mendakwa berlaku penipuan semasa pemilihan. Pengadu mendakwa sembilan wakil muflis, bukan anggota, termasuk wakil yang berada di luar negara telah mengundi pada tarikh tersebut".

Beliau berkata jawatankuasa pemilihan memandang serius aduan ini, dan akan menyiasat secara mendalam.

Mengenai kemungkinan diadakan pemilihan semula, Sakthivel berkata: "Biar kami siasat dulu. Kemudian kami beritahu tarikh pemilihan".

Sementara itu, bekas Ketua Pemuda MIC Datuk T. Mohan mendakwa terdapat 'motif tersembunyi' untuk menggantung keputusan pemilihan sayap itu sementara menunggu siasatan terhadap dakwaan wujud kepincangan dalam pemilihan.

    

Beliau mendakwa ia adalah "pakatan jahat terancang" bagi meranapkan harapannya merebut jawatan naib presiden MIC.

    

"Beberapa kumpulan tidak mahu perwakilan Pemuda mengundi saya," katanya kepada Bernama.

    

"Saya amat kecewa dengan keputusan ini (melarang perwakilan Pemuda MIC daripada mengundi). Tetapi saya telah minta mereka supaya bertenang dan menunggu laporan penyiasatan," katanya.

    

Mohan turut menggesa agar perhimpunan agung parti ditangguh sehingga perkara itu selesai.

    

Sebanyak 1,454 perwakilan akan memilih tiga naib presiden MIC dan 23 anggota Jawatankuasa Kerja Pusat dalam pemilihan parti dijadual 30 November di Melaka.

    

Semasa dihubungi, Sivarraajh berkata beliau juga kecewa dengan perkembangan terbaru itu tetapi akan menunggu keputusan siasatan.

-Bernama