Majlis pengumpulan dana untuk bangunan baru Malaysiakini - @Kini - semalam mencatat kejayaan apabila berjaya mengumpul lebih RM 10,000 dalam tempoh satu malam.

Dengan penampilan khas bekas pengerusi BERSIH 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan, lebih 50 tetamu teruja dan hasilnya, sepuluh bata berjaya dijual dan ribuan ringgit dikumpul dari derma.

Ambiga menyampaikan ucapan bertajuk "Pengajaran dari BERSIH" berdasarkan pengalaman beliau selama lebih tiga tahun dalam gerakan masyarakat antara paling berjaya di negara ini.

NONE "Saya tidak boleh membayangkan Malaysia tanpa Malaysiakini . Idea membeli bata ini simbolik bagi saya kerana kita bukan sahaja membelinya, tapi turut melabur untuk media yang bebas dalam jalan membina tiang agung demokrasi," kata beliau pada permulaan syarahannya.

Bekas pengerusi Majlis Peguam Malaysia ini berkongsi, BERSIH mendapat sokongan padu masyarakat negara ini kerana mempunyai mesej yang ringkas, mudah difahami serta mencengkam hati rakyat kebanyakan negara ini.

Beliau berkata antara pengajaran paling penting dalam memperjuangkan perubahan ialah tidak tunduk dengan sebarang tekatan.

"Kami di BERSIH belajar perkara ini dengan cara yang susah. Mereka, (BN) cuba melakukan semuanya (untuk mengganggu) secara peribadi dan berkumpulan.

"Sekali kita menyerah kepada gangguan, mereka akan menggunakan balik ke atas kita berkali-kali," kata beliau.

Bidaaan potret Ambiga

Ambiga turut mengajak orang ramai agar mengambil peranan lebih aktif dalam masyarakat untuk meningkatkan standard kebertanggungjawaban dan ketelusan dari akar umbi ke kepimpinan tertinggi.

NONE "Mungkin kita juga patut ke depan dan berinteraksi dengan wakil yang dipilih kita, sama ada dari pembangkang atau BN.

"Kita perlu bertanya dengan jelas tanpa ragu kepada mereka, apa yang mereka mahu tinggalkan untuk anak-cucu mereka?" kata beliau.

Antara yang hadir, Tan Yong Wei, 23, yang berpakaian kemeja-t BERSIH, yang pernah diharamkan beberapa tahun lalu.

Tan berpendapat media bebas penting bagi generasi muda yang selalu berada dalam platform paling depan dalam perjuangan menjadikan negara lebih baik di masa akan datang.

"Kita boleh dapat maklumat secara percuma di atas talian, kita perlu menyebarkan berita sebenar kepada keluarga, kawan dan sesiapa sahaja agar mereka lebih mengambil berat tentang isu di negara ini.

NONE Sementara itu, Mohmiandi @ Andi, 40, mencuri tumpuan apabila membida sebuah potret khas Ambiga yang dibuat menggunakan pin.

Andi menyatakan Ambiga telah memberi inspirasi kepada beliau untuk terus berjuang dan konsisten terhadap apa yang diusahakan.

"Seperti apa yang dikatakan oleh Datuk Ambiga, apa yang kita ada sekarang ialah harapan. Dengan harapan, saya fikir generasi saya mampu untuk mengubah negara ke tahap sama yang dinikmati negara maju," kata beliau.

Perluasan media bebas

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini , Premesh Chandran dalam majlis pula menghuraikan cita-cita syarikat dalam membantu meluaskan lagi pengaruh media bebas.

"Kami mahu melakukan lebih, kami mahu liputan lebih luas, lebih banyak bahasa, kehadiran lebih baik di Sabah dan Sarawak.

NONE "Kita harus perluaskan media Internet dan melahirkan lebih banyak pembaca media bebas, amat payah untuk mengubah negara ini," tegas beliau.

Malaysiakini kini dalam kempen mengumpulkan RM3 juta dalam masa dua bulan akan datang menerusi kempen "Buy a brick" (beli bata).

Setiap penyokong yang menyumbangkan RM1,000 akan mendapat langganan dan iklan di Malaysiakini bernilai RM1,000, serta seketul bata yang diukir dengan namanya.

Bata ini akan diguna untuk membina tembok penghargaan yang akan menjadi identiti tetap bangunan baru Malaysiakini itu, dalam kempen mensasarkan 1,000 pembeli untuk setiap bata bernilai RM1,000.

Malaysiakini juga mengalu-alukan tajaan korporat sama ada sebanyak RM25,000 atau RM50,000.

Penaja akan diberikan pengiktirafan yang jelas dalam bangunan tersebut serta ruang pengiklanan yang setara nilainya di Malaysiakini sebagai tanda terima kasih.