P'jaya Tinggi M'sia sambut kakak Aishah penuh simpati
Kakak kepada Siti Aishah Abdul Wahab, wanita Malaysia yang melarikan diri selepas 30 tahun menjadi hamba di London, sudah bertemu dengan pesuruhjaya tinggi negara ini di United Kingdom bagi membincangkan perkara itu.
Aktivis Hishammuddin Rais, yang menyertai rombongan Kamar Mautum Abdul Wahab ke London berkata, kakak Aishah meminta supaya kedutaan menguruskan penghantaran suratnya kepada ketua penyiasat polis di kota itu.
"Pak duta menyambut Cikgu Kamar dengan penuh perasaan yang simpati," katanya.
Menulis di blognya awal pagi ini (waktu Malaysia), Hishammuddin juga berkata, duta Datuk Seri Zakaria Sulong juga menjelaskan, Malaysia telah menghubungi polis London, seperti termaktub dalam perjanjian perhubungan diplomatik kedua-dua negara.
Menurutnya lagi, dalam pertemuan di Belgrave quare itu, turut hadir wakil daripada akhbar tempatan Daily Telegraph dan dua pembantu Zakaria.
Kamar Mahtum kelmarin terbang ke London bagi membuat pengecaman dengan membawa barang milik adiknya.
Sabtu lalu, akhbar melaporkan wanita 69 tahun itu antara tiga wanita yang dibebaskan 25 Oktober lepas di London, selepas seorang daripada mereka menghubungi pertubuhan kebajikan. Dua wanita lain warga Ireland dan Britain.
Siti Aishah berasal dari Jelebu, Negeri Sembilan dikatakan meninggalkan negara pada 1968 untuk melanjutkan pelajaran di London tetapi kemudian dikatakan terpengaruh dengan aliran Komunis Maoist.
'Bantu jika dia masih warganegara '
Sementara itu, Pesuruhjaya Zakaria juga dilaporkan, berkata pihaknya akan membantu Aishah pulang ke tanah air dan berbuat demikian sejurus dibenarkan berjumpanya.
"
Buat masa ini, kita tidak dibenarkan berjumpa wanita ini yang dikatakan menjadi hamba seperti dilaporkan media.
"Polis Lamberth belum bersedia memberi sebarang maklumat kerana masih dalam siasatan tetapi kita akan berhubung rapat dengan polis di sini dan pejabat Asing dan Komanwel (FCO)," katanya seperti dilapor Berita Harian hari ini.
Laporan itu juga menyebut, Zakaria berkata pihak suruhanjaya tinggi perlu berjumpa Aishah untuk mengesahkan taraf warganegaranya dan tidak dapat banyak membantu jika wanita itu enggan bercakap dengan mereka.
"Kita akan membantu Siti Aishah mendapatkan dokumen perjalanan baru jika dia masih warganegara," katanya.
Laporan itu juga menyebut kali terakhir Aishah berhubung dengan keluarganya ketika dia melawat abangnya, Mohd Tahir Abdul Wahab yang bekerja di London pada 1982.
Sementara itu, abang kepada Aishah, Mohd Tahirm dalam temubual kelmarin berkata dia tidak pasti sama ada Aishah masih mempunyai pasport Malaysia.
"Bagaimanapun, keluarga kami gembira sekiranya dia dapat pulang ke pangkuan keluarga," katanya seperti dilapor dalam akhbar bahasa Melayu itu.

