Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menjelaskan walaupun negeri itu mengumumkan bajet defisit, tetapi pada kebiasaannya ia akan merekodkan lebihan pada akhir tahun.

"Walaupun kita sentiasa mengumumkan bajet defisit, kita biasanya berakhir dengan lebihan setiap tahun," kata Lim ketika ditemui di Balik Pulau hari ini.

"Semua orang tahu kita mempunyai lebihan, dan kami bangga dengannya," katanya.

Lim (kiri) berkata, orang ramai boleh memahami bahawa bajet defisit hanya anggaran dan bukan perbelanjaan sebenar, sambil menambah bahawa ia belum termasuk hasil negeri bagi tahun ini.

Semalam, Lim membentangkan bajet defisit sebanyak RM255.44 juta, kurang daripada tahun 2013 (RM262.04 juta).

Beliau menjelaskan perkara itu kerana ada anggota yang bertanya kepadanya mengenai perkara itu selepas membaca laporan akhbar yang tidak turut melaporkan kenyataannya tentang lebihan tersebut.

Beliau menjelaskan ini adalah disebabkan oleh perbelanjaan mengurus yang dianggarkan RM843.20 juta bagi tahun 2014.

Katanya, ia adalah hasil pengurangan dalam pemindahan dana kepada Tabung Kewangan Pembangunan Negeri sebanyak RM120 juta berbanding RM200 juta bagi tahun 2013.

Lim juga berkata peruntukan untuk bantuan sosial di negeri ini dan program kesejahteraan rakyat telah ditambah dari RM75.0 juta pada tahun 2013 kepada RM111.47 juta bagi tahun 2014.

[Baca berita penuh]