Seorang perompak terbunuh manakala seorang rakannya cedera ditembak polis dalam kejadian rompakan di sebuah rumah di Jalan Persiaran Syed Putra, Brickfields di Kuala Lumpur, awal hari ini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairi Ahrasa berkata dalam kejadian 4.30 pagi di kediaman seorang pengurus syarikat swasta berusia 60 tahun itu, seorang daripada tiga penjenayah tersebut, berjaya meloloskan diri.

Menurut Khairi, ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 20-an dan 30-an itu,  memecah masuk rumah berkenaan ketika mangsa, isteri dan anak perempuannya berada di tingkat bawah manakala seorang anak lelaki pasangan itu berada di tingkat atas kediaman berkenaan.

"Kehadiran remaja lelaki berusia 20 tahun itu tidak disedari kumpulan penjenayah terbabit dan beliau mengambil kesempatan menghubungi polis. Empat anggota polis peronda yang kebetulan melalui kawasan berkenaan, tiba tidak lama kemudian sebelum memerhati gerak-geri suspek," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian, di Kuala Lumpur.

Khairi berkata seorang daripada suspek bertindak mengacukan pistol ke arah seorang mangsa ketika membawanya ke luar rumah bagi membuka pagar automatik untuk melarikan diri, sebelum kumpulan penjenayah itu menyedari kehadiran polis dan melepaskan tembakan.

Polis membalas tembakan sebelum dua daripada tiga penjenayah itu rebah manakala seorang lagi meloloskan diri dengan sejumlah wang tunai dan barang kemas milik keluarga itu.

"Penjenayah berusia 20 tahun itu disahkan meninggal dunia akibat kecederaan di kepala ketika menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya manakala rakannya yang berusia 33 tahun yang cedera di dada dilaporkan kritikal," katanya.

Menurutnya, suspek yang cedera memiliki tujuh rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah, mencuri dan pecah rumah dan polis sedang memburu rakan penjenayah yang melarikan diri itu.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam laman Twitternya mengucapkan tahniah kepada anggota polis terbabit atas kejayaan mereka memerangi jenayah.

- Bernama