Mat Zain serah salinan SD pada MP, portal berita
Bekas Ketua Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Mat Zain Ibrahim hari ini telah menyerahkan salinan pengakuan berkanun kontroversinya kepada beberapa orang ahli parlimen dan juga portal berita.
Salinan pengakuan berkanun bertarikh 7 Oktober itu turut dihantar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Peguam Cara Negara Datuk Idrus Harun, Ketua setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Bagaimanapun, Mat Zain menafikan pengakuan berkanun itu seperti yang telah dilaporkan sesetengah pihak, dikemukakan sebagai konspirasi untuk mencemarkan nama baik Peguam Negara Abdul Ghani Patail agar jawatan tersebut diisi oleh tokoh tertentu.
Katanya, dakwaan konspirasi itu ditimbulkan oleh penulis tertentu yang tidak melihat sepenuhnya kandungan akuan berkanun tersebut.
“Untuk mengelakkan sebarang kesangsian dan salah anggap, saya memutuskan untuk menyerahkan keseluruhan akuan bersumpah ini kepada beberapa portal berita dan ahli parlimen hari ini," katanya.
Beliau turut memberi peringatan bahawa portal berkenaan menanggung risiko sendiri sekiranya menerbitkan semula kandungan pengakuan tersebut.
Laporan awal menyebut rentetan pertemuan Mat Zain dengan peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah dan pertemuan dengan mantan perdana menteri Tun Mahathir Mohamad.
Antara lainnya, perbincangan tersebut menjurus kepada kes di Mahkamah Keadilan Antarabangsa di The Hague pada 2008 yang menyaksikan Malaysia kehilangan Pulau Batu Puteh kepada Singapura.
Mat Zain menggesa agar satu suruhanjaya diraja dibentuk untuk menyiasat perkara itu, yang didakwa berpunca dari satu gambar palsu yang dikemukakan ke mahkamah berkenaan.
Mat Zain juga berkata, beliau telah memaklumkan kepada perdana menteri secara bertulis bahawa beliau berhak mendedahkan pengakuan tersebut kepada umum sekiranya ada keperluan.
Mat Zain juga berkata beliau tidak perlu membuat laporan polis berkaitan pengakuan berkanunnya, kerana polis boleh membuka siasatan berdasarkan perkara yang telah diperakuinya itu.
“Saya sudah bertanya Ketua Polis Negara untuk menggunakan budi bicaranya untuk menerima pengakuan berkanun menggunakan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 107 (3) (a) (b) dan (c) Kanun Prosedur Jenayah untuk menggunakan pengakuan berkanun sebagai laporan polis, "katanya .
“Oleh itu, saya menggesa agar perkara ini disegerakan kerana ia melibatkan kedaulatan negara, dan agar RCI ditubuhkan untuk menyiasat mengenai kehilangan Pulau Batu Puteh," kata Mat Zain.

