TPM: Sikap sederhana M'sia suburkan ekonomi
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sikap bersederhana Malaysia membawa kepada kesuburan ekonomi berbeza dengan keadaan negara di Timur tengah.
Beliau yang juga menteri pendidikan memberi contoh gerakan seperti 'Arab Spring' membawa ketidakstabilan ekonomi di rantau tersebut.
"Di seluruh dunia ekstremisme merampas nyawa dan memusnahkan peluang ekonomi.
"Kita telah lihat bagaimana ketidakseimbangan ekonomi menyebabkan keterasingan (dan) ketidakstabilan, contohnya Arab Spring," kata beliau dalam majlis penutup forum antarabangsa Umno 2013.
Muhyiddin berkata Umno dan Malaysia 'berjaya' dalam menyatukan masyarakat berbilang bangsa dan agama serta membina kerajaan yang sederhana.
"Mengambil kira kepelbagaian di Malaysia, kami telah memperkuatkan komitmen ke arah keterangkuman semua kaum, agar manfaat pertumbuhan dirasai semua peringkat masyarakat," katanya.
Malah, Muhyiddin menyifatkan Umno dan BN sebagai 'poster boy' dalam perhubungan antara kaum dan masyarakat majmuk.
"Kita tak boleh mencapai semua ini tanpa parti politik yang mantap dan rakyat bersatu menyokong Barisan Nasional," kata beliau.
Forum Antarabangsa 2013 berlangsung selama dua hari sejak semalam sempena Perhimpunan Agung Umno 2013 bermula malam ini.

